Iran nafi terlibat insiden tentera AS terbunuh di sempadan Syria-Jordan

Iran menolak dakwaan penglibatannya dalam pembunuhan tiga anggota tentera Amerika Syarikat (AS) di wilayah sempadan antara Syria dan Jordan. Foto AFP
Iran menolak dakwaan penglibatannya dalam pembunuhan tiga anggota tentera Amerika Syarikat (AS) di wilayah sempadan antara Syria dan Jordan. Foto AFP
A
A
A

TEHRAN - Iran menolak dakwaan penglibatannya dalam pembunuhan tiga anggota tentera Amerika Syarikat (AS) di wilayah sempadan antara Syria dan Jordan pada Ahad, dengan berkata negara itu tidak campur tangan dalam keputusan yang dibuat oleh kumpulan serantau.

Dalam kenyataan pada Isnin, jurucakap Kementerian Luar Nasser Kanaani berkata: "kumpulan penentang di rantau Asia Barat itu tidak menerima arahan dari Tehran atas tindakan mereka”, lapor Agensi Anadolu.

Tiga anggota AS terbunuh manakala 30 yang lain cedera dalam serangan dron yang menyasarkan sebuah pos kecil tentera AS di Jordan.

Agensi Berita IRNA yang memetik misi tetap negara itu ke PBB sebagai berkata, bahawa Iran tidak mempunyai pengaruh dalam membuat keputusan itu.

Kanaani juga berulang kali memberi amaran tentang bahaya meluaskan skop konflik di rantau itu di tengah-tengah serangan berterusan Israel ke atas Gaza serta sokongan AS terhadap Israel.

"Peperangan di Gaza bukanlah penyelesaian dan menamatkan serangan rejim Zionis ke atas Gaza dan gencatan senjata serta-merta boleh menjadi asas untuk mengembalikan keamanan ke rantau itu,” tambahnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: