Wanita hilang dalam kebakaran tiga rumah di Pulau Ketam

Tiga buah rumah terbakar dalam kejadian di Bagan Teo Chew, Pulau Ketam pada Jumaat.
Tiga buah rumah terbakar dalam kejadian di Bagan Teo Chew, Pulau Ketam pada Jumaat.
A
A
A

KLANG - Seorang wanita hilang dalam kebakaran melibatkan tiga buah rumah dan dua tempat pemunggahan ikan di Bagan Teo Chew, Pulau Ketam di sini, pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, mangsa yang berumur 49 tahun dipercayai berada dalam salah sebuah rumah yang terbakar ketika kejadian.

"Kebakaran dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari melibatkan tiga rumah dan turut memusnahkan dua tempat pemunggahan ikan.

Dua tempat pemunggahan ikan turut terbakar dalam kejadian di Bagan Teo Chew, Pulau Ketam pada Jumaat.
Dua tempat pemunggahan ikan turut terbakar dalam kejadian di Bagan Teo Chew, Pulau Ketam pada Jumaat.

"Operasi pemadaman dijalankan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, Kota Raja, Andalas dan Pasukan Bomba Sukarelawan Pulau Ketam," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira jam 2.30 petang.

"Bagaimanapun, siasatan awal dijalankan mendapati terdapat seorang mangsa yang merupakan wanita warga tempatan dipercayai hilang ketika kejadian.

"Usaha mencari dan menyelamat mangsa terlibat sedang giat dijalankan, dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!