Pahang heret pihak terlibat penerokaan haram ke mahkamah

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

RAUB - Kerajaan negeri serius menangani aktiviti penerokaan tanah haram di Pahang termasuk mendakwa mereka yang terlibat terus ke mahkamah, tegas Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau bagaimanapun mengakui penerokaan hutan masih berlaku, walaupun agensi yang dipertanggungjawabkan telah mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung kegiatan itu.

"Walaupun kita kawal dan pantau, masih lagi berlaku (penerokaan haram). Sebab itu kita sangat serius dan bawa mereka ke mahkamah terus, tidak lagi mengeluarkan kompaun (seperti sebelum ini).

"Tindakan ini bukan untuk memalukan atau mengaibkan, tetapi untuk beri pengajaran kepada mereka yang buat kerja tidak sihat ini yang menjejaskan imej kerajaan negeri," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Wan Rosdy berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Penghutanan Semula Dalam Hutan Simpan Kekal Negeri Pahang oleh Syarikat Amat Bayu Sdn Bhd di Hutan Simpan Tersang di sini pada Isnin.

Menurutnya, pendakwaan terus ke mahkamah yang dilaksanakan bermula tahun lepas didapati dapat mengurangkan aktiviti pencerobohan tanah sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kejadian tanah runtuh melibatkan kebun sayur haram di Cameron Highlands pada awal pagi Jumaat lepas, yang mengorbankan lima mangsa warga Mynmar termasuk seorang wanita.

Pada perkembangan lain, Wan Rosdy berkata, projek penghutanan semula di Pahang teleh bermula pada 2000 dengan keluasan 404.69 hektar, dan hingga tahun lepas keluasan projek sudah meningkat kepada 34,342.22 hektar.

Bagi projek penghutanan semula yang dirasmikan hari ini, Wan Rosdy berkata, ia dilaksanakan Syarikat Amat Bayu Sdn Bhd melibatkan kawasan seluas 20,303.27 hektar dalam tempoh 60 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap projek ini menjadi contoh pengurusan projek penghutanan semula yang baik dan mematuhi peraturan semasa yang sedang berkuat kuasa.

"Menerusi projek ni, kawasan tidak berhutan atau kawasan terosot akibat bencana alam atau penerokaan untuk pembangunan dapat dipulihkan semula," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!