Jabatan Perikanan tahan tiga bot ceroboh perairan Terengganu
KUALA TERENGGANU - Jabatan Perikanan Terengganu menahan tiga bot nelayan tempatan yang disyaki menceroboh perairan negeri ini pada Isnin.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, seramai 15 nelayan warga asing ditahan antara jam 1 hingga 2 pagi pada jarak kira-kira enam batu nautika dari pantai di kawasan perairan Merchang, Marang.
Beliau berkata, kesemua bot termasuk peralatan tangkapan ikan yang disita itu dianggarkan bernilai RM3 juta.
"Nelayan kita (sering) berhadapan dengan ancaman pencerobohan daripada bot-bot pukat tunda khususnya dari negeri jiran.
"Jadi menerusi rondaan dijalankan, Jabatan Perikanan negeri berjaya menahan seramai 15 individu berusia antara 21 hingga awal 50-an bersama tiga buah bot pukat yang melanggar Akta Perikanan 1985," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di Pelabuhan Chendering di sini, pada Isnin.
Azman berkata, pihaknya memandang serius pencerobohan nelayan termasuk bot nelayan tempatan yang memasuki perairan negara.
Menurutnya, terdapat dua kesalahan yang dilakukan oleh nelayan yang menceroboh perairan negeri ini.
"Pertama, Akta Perikanan 1985 menetapkan bahawa 12 batu nautika daripada pantai Terengganu adalah kawasan zon tangkapan eksklusif untuk nelayan Terengganu sahaja.
“Jadi apabila ada bot nelayan negeri lain yang menceroboh bermakna mereka telah melanggar akta perikanan walau dengan apa cara tangkapan sekali pun," katanya.
Beliau berkata, bagi kesalahan kedua pula, aktiviti pukat tunda hanya dibenarkan 12 batu nautika ke atas.
"Jadi ketika tiga buah bot ini ditahan telah melakukan aktiviti penangkapan menggunakan pukat tunda pada jarak lebih kurang enam batu nautika yang mana ia telah melanggar Akta Perikanan 1985,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azman menyatakan penahanan tiga bot pukat tunda tersebut merupakan yang pertama berlaku pada tahun ini.
“Tahun lepas Jabatan Perikanan negeri bersama dengan polis marin dalam 28 operasi telah berjaya melakukan 47 tangkapan.
“Ia melibatkan bot nelayan asing dari Vietnam dan selebihnya adalah pencerobohan daripada nelayan tempatan negeri jiran," ujarnya.