Negeri Sembilan tidak benarkan pekerja asing tinggal di kawasan perumahan

Arul (dua kanan) ketika melawat CLQ di Bandar Baru Nilai.
Arul (dua kanan) ketika melawat CLQ di Bandar Baru Nilai.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan memutuskan untuk tidak membenarkan pekerja warga asing ditempatkan di mana-mana kawasan berstatus kediaman dan mereka diberikan tempoh sehingga hujung tahun ini.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, sehingga tempoh tersebut semua kediaman yang dijadikan sebagai kediaman pekerja asing akan dibuat pemutihan.

Arul (tiga kiri) ketika melawat fasiliti yang ada di CLQ, Bandar Baru Nilai.
Arul (tiga kiri) ketika melawat fasiliti yang ada di CLQ, Bandar Baru Nilai.

Menurutnya, ia bagi membolehkan tempat penginapan tersebut mendapatkan Perakuan Penginapan dari Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

"Sebelum tempoh ini tamat semua pekerja asing yang ditempatkan di kawasan berstatus kediaman perlu dipindahkan ke kawasan komersial atau Pusat Penempatan Pekerja Asing atau Centralised Labour Quarter (CLQ).

"Oleh itu, pembinaan atau pertukaran secara keseluruhan sesuatu bangunan kepada CLQ mengikut syarat-syarat yang ditetapkan adalah digalakkan oleh kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ujarnya, CLQ ini mestilah suatu kawasan yang berpagar dan dapat dikawal serta mempunyai semua kemudahan asas kepada pekerja warga asing.

Katanya, dengan pelaksanaan tindakan ini isu yang berpunca daripada pekerja warga asing di kawasan perumahan seperti gangguan dan kebersihan dapat diselesaikan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, CLQ juga perlu mematuhi semua syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Tenaga Kerja.

"Ini juga akan menjamin hak setiap pekerja warga asing dalam mendapatkan tempat tinggal yang selesa dan selamat," katanya.

Jelasnya, kerajaan negeri juga akan membantu dalam pelbagai aspek dalam mewujudkan CLQ di Negeri Sembilan bagi menampung keperluan tempat penginapan pekerja warga asing.

Sebelum itu, Arul mengadakan lawatan ke Pusat Penempatan Pekerja Asing (CLQ) Lodge Residence di Bandar Baru Nilai.

Katanya, CLQ ini mempunyai hampir 1,000 unit bilik dan boleh menempatkan 3,500 pekerja.

"Lawatan ini bertujuan untuk melihat beberapa masalah dan cabaran dalam mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan sebagai CLQ," katanya.