Pembekuan permohonan kuota pekerja asing kekal

Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Rabu. Foto Bernama
Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan memutuskan untuk meneruskan pembekuan kuota permohonan dan kelulusan bagi pengambilan pekerja asing, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurutnya, tiada keperluan untuk menarik balik polisi berkenaan ketika ini kerana jumlah kuota yang diluluskan sudah mencukupi.

“Jemaah Menteri juga bersetuju untuk menubuhkan pusat sehenti (untuk mempercepatkan proses kelulusan permohonan pekerja asing).

“Agensi yang mengetuainya akan berada di bawah Kementerian Dalam Negeri.

"Kabinet juga memperakui tempoh kemasukan pekerja asing dari 29 bulan 13 hari kepada 15 bulan tujuh hari, sekiranya polisi pada masa hadapan membuka semula kuota," katanya pada sidang media khas di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, kerajaan akan mengkaji semula memorandum persefahaman (MoU) dengan negara-negara yang membekalkan pekerja asing khususnya Nepal, Indonesia dan Bangladesh.

"Keutamaan pada tiga inj kerana mereka menyediakan kira-kira 77 peratus daripada pekerja asing di negara ini.

"MoU melibatkan mengenai yuran, kos, kontrak dan penjagaan kesihatan,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau menegaskan, Jabatan Imigresen (JIM) tidak akan membebaskan pemimpin pembangkang Bangladesh, MA Quayum sehingga mahkamah membuat keputusan.

"JIM akan kekal dengan keputusan mahkamah dimana pendengar akan dibuat 5 April depan.

"Saya sudah menghubungi peguam Quayum bahawa JIM akan patuh proses mahkamah sehingga keputusan dibuat mengenai status beliau," katanya.

JIM pada Rabu memberi persetujuan kepada permohonan dikemukakan di mahkamah untuk tidak mengusir Quayum.

Persetujuan JIM itu direkodkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui akujanji diberikan wakil dari Jabatan Undang-undang JIM, timbalan pendakwa raya Nor Amalina Ismail.

Sebelum itu peguam Quayum, Edmund Bon, memohon aku janji itu berkenaan bagi membolehkan mereka menunggu keputusan permohonan habeas corpus ahli politik terbabit yang dijadual untuk didengar pada 5 April ini.