Dua suspek ditahan kes gaduh di kedai makan

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua lelaki ditahan dipercayai terbabit dalam pergaduhan di sebuah kedai makan di Taman Impian Emas, Skudai dekat sini pada malam Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Belveer Singh Mahindar Singh berkata, kedua-dua lelaki berusia 40 dan 38 tahun itu ditahan pada Ahad di dua lokasi berbeza.

Menurutnya, tangkapan dilakukan sepasukan anggota dari D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.

"Suspek pertama berusia 40 tahun pada jam 12.15 pagi di tepi Jalan Putih Skudai manakala suspek berusia 38 tahun pula ditahan di sebuah rumah di kawasan Masai sekitar jam 1 pagi.

"Kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan direman selama empat hari sehingga Rabu. Polis masih giat mengesan semua suspek terlibat yang masih bebas," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Sabtu, polis mengesahkan kejadian pergaduhan terbabit berlaku, namun memaklumkan tiada laporan dibuat oleh mangsa atau pun pihak terlibat.

Sebelum itu, tular video berdurasi 45 saat memaparkan mengenai insiden pergaduhan terbabit.

Artikel Berkaitan: