Petani rugi RM100,000 padi tenggelam banjir termenung

Yakob (kiri) dan Che Azlan (kanan) menunjukkan tanah selut yang tinggal di bendang di Kampung Teras. Foto SINAR HARIAN
Yakob (kiri) dan Che Azlan (kanan) menunjukkan tanah selut yang tinggal di bendang di Kampung Teras. Foto SINAR HARIAN
A
A
A

KOTA BHARU - Hampir 10 petani kerugian kira-kira RM100,000 akibat anak pokok padi di bendang seluas 30 hektar ditenggelami banjir termenung di Kampung Teras, Binjai di sini, sejak empat hari lalu.

Petani, Yacob Abdul Majid, 54, berkata, perkara itu pertama kali berlaku didakwa berpunca daripada parit sedia ada yang terkambus tanah dan tidak ada saliran yang sepatutnya menyebabkan sawah tenggelam sehingga kedalaman tiga meter.

“Saya paling terjejas kerana enam hektar padi sudah tumbuh setinggi 20 sentimeter, tetapi kesemuanya rosak ditenggelami banjir.

“Selain air, pokok-pokok padi yang tenggelam itu juga habis dimakan siput gondang dan hanya tinggal tanah selut sahaja,” katanya ketika ditemui di Kampung Teras, Binjai, di sini, pada Sabtu.

YACOB. Foto SINAR HARIAN
YACOB. Foto SINAR HARIAN

Menurut Yacob, dia mengalami kerugian modal lebih RM20,000 bahkan lebih malang terpaksa menanggung bebanan hutang melibatkan kos benih serta upah membajak sawah yang dilakukan sebelum kerja-kerja menyemai benih padi.

“Benih-benih yang disemai pada dua minggu lalu bernilai RM3,800 manakala sebelum itu upah membajak sawah berjumlah RM3,000 setiap hektar.

“Saya cuba menggunakan enam pam untuk mengeluarkan air dari bendang ini untuk menyelamatkan padi tetapi tidak berjaya kerana air terlalu banyak,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

CHE AZLAN. Foto SINAR HARIAN
CHE AZLAN. Foto SINAR HARIAN

Seorang lagi petani, Che Azlan Muhamad Nor, 57, berkata, kebiasaan jika hari tidak hujan dan saliran atau parit tidak terkambus, air dalam bendang tersebut akan surut dalam tempoh dua hari.

Katanya, keadaan banjir termenung itu bagaimanapun dijangka akan memakan masa lebih sebulan untuk pulih dan menyebabkan petani tidak dapat menanam padi dalam tempoh yang lama.

“Cuaca tak hujan pun lambat suruh apatah lagi kalau hujan. Biasa boleh tanam padi dua kali setahun, ini mungkin sekali sahaja, itupun mungkin dapat ditanam semula pada Jun nanti.

“Oleh sebab itu, saya sangat berharap pihak berwajib datang untuk membantu mencari alternatif bagi membina saliran supaya air dapat mengalir keluar dan petani dapat memanam padi semula,” katanya.

RAMLAH. Foto SINAR HARIAN
RAMLAH. Foto SINAR HARIAN

Dalam pada itu, suri rumah, Ramlah Yaakob, 59, berkata, penduduk di kampung itu turut terjejas dengan keadaan sama apabila kawasan persekitaran rumah mereka digenangi air bertakung yang mengambil masa sangat lama untuk suruh berbanding sebelum ini.

“Setiap tahun kawasan ini banjir tetapi air hanya pada paras 0.3 meter sahaja dan cepat surut.

Bendang yang ditenggelami air sehingga tiga meter. Foto SINAR HARIAN
Bendang yang ditenggelami air sehingga tiga meter. Foto SINAR HARIAN

“Tahun ini, pertama kali berlaku apabila air di pekarangan rumah tidak surut-surut walaupun sudah seminggu dan mulai berbau busuk,” katanya.