Lelaki ceroboh asrama pekerja diberkas

Mangsa mengalami kecederaan di kepala selepas ditampar dan kepalanya ditolak pada besi katil.
Mangsa mengalami kecederaan di kepala selepas ditampar dan kepalanya ditolak pada besi katil.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pekerja kilang warga Indonesia berdepan detik cemas apabila asrama pekerja dipecah masuk seorang lelaki dalam kejadian di kawasan Mak Mandin di sini pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa yang berusia 28 tahun terjaga daripada tidur selepas menyedari individu tidak dikenali masuk ke dalam bilik dan cuba mengambil telefon miliknya.

Suspek yang terkejut selepas mangsa menjerit meminta pertolongan bertindak menampar dan menolak kepala mangsa ke besi katil sebelum melarikan diri.

Bagaimanapun usaha suspek untuk meloloskan diri gagal apabila dia berjaya diberkas oleh pengawal keselamatan di kawasan perumahan berkenaan yang mendengar jeritan mangsa.

Wang tunai antara yang dirampas daripada suspek.
Wang tunai antara yang dirampas daripada suspek.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati suspek memecah masuk asrama berkenaan melalui pintu utama berikutan terdapat kesan umpil pada pintu besi.

Menurutnya, mangsa juga dapat mengecam wajah suspek walaupun lelaki berkenaan memakai topi keledar, namun cermin topi keledar dalam keadaan terbuka.

"Hasil semakan yang dibuat mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau bersabit kesalahan dadah dan jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Kita turut merampas sejumlah wang syiling, duit kertas mata wang Indonesia, sebuah telefon bimbit, besi panjang yang digunakan sebagai senjata dan peralatan untuk kegiatan pecah rumah,"katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Noorzainy berkata, kesemua barang yang dirampas dibawa balik ke IPD Seberang Perai Utara dan suspek kini direman untuk untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 455 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958