Lelaki persenda ucapan salam diberkas

Suspek yang berusia 40-an itu diberkas di Wangsa Maju. Gambar kecil: Noorsiah
Suspek yang berusia 40-an itu diberkas di Wangsa Maju. Gambar kecil: Noorsiah
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki diberkas dipercayai memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap agama Islam menerusi media sosial pada Selasa.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, suspek yang merupakan warga tempatan berusia 40-an itu diberkas di Wangsa Maju.

"Siasatan dijalankan mendapati suspek terlibat dalam satu klip video penghinaan terhadap agama Islam berkaitan mempersenda ucapan salam.

"Polis turut merampas dua telefon bimbit dan tiga keping kad sim milik suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Menurutnya, suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut dan permohonan reman dijalankan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Sementara itu, Noorsiah berkata, seramai 12 individu diberkas semenjak Jawatankuasa Siasatan 3R ditubuhkan pada 22 Mac 2023 dengan 18 kertas siasatan telah dibuka melibatkan kesalahan berkaitan.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," ujarnya.