Tunku Ismail dilantik Pemangku Sultan Johor

Tunku Ismail dimasyhurkan sebagai Pemangku Sultan Johor dalam Majlis Istiadat Pelantikan di Istana Bukit Serene pada Ahad. - Foto Royal Press Office
Tunku Ismail dimasyhurkan sebagai Pemangku Sultan Johor dalam Majlis Istiadat Pelantikan di Istana Bukit Serene pada Ahad. - Foto Royal Press Office
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Pemangku Sultan Johor mulai Ahad.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melantik Tunku Ismail sebagai Pemangku Sultan Johor.

"Sultan Ibrahim, Sultan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor Darul Takzim dengan nasihat Jumaah Majlis Diraja dan kuasa serta kehendak Fasal 9(1)(d) dan (3) Undang Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 telah berkenan melantik Waris Takhta Kerajaan Johor, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Pemangku Sultan Johor bermula hari ini.

"Pelantikan ini hendaklah berterusan untuk selama Sultan Johor menjalankan kerja-kerja Yang di-Pertuan Agong.

"Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor berkenaan gelaran kehormatan bagi Pemangku Sultan adalah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atau DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Kenyataan Jumaah Majlis Diraja Johor.
Kenyataan Jumaah Majlis Diraja Johor.

Istiadat pelantikan itu berlangsung pada jam 10 pagi di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene di sini, di hadapan Sultan Ibrahim.

Berangkat sama, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj.

Artikel Berkaitan:

Turut berangkat, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dan suami, Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani dan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli.

Biodata Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Berikut adalah biodata rasmi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dilantik sebagai Pemangku Sultan pada Ahad, berikutan ayahanda baginda Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bakal memulakan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 mulai 31 Januari ini untuk tempoh lima tahun.

Menurut biodata yang dikongsikan oleh Royal Press Office, Tunku Ismail diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Bahru dan merupakan putera sulung kepada Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

Lima adinda Tunku Ismail ialah Tunku Tun Aminah, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Almarhum Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

Pendidikan:

Tunku Ismail mendapat pendidikan awal persekolahan di Sekolah Sri Utama dan Sekolah Rendah Kebangsaan St Joseph, masing-masing terletak di Johor Bahru dan seterusnya di Australian International School, Singapura.

Baginda kemudian melanjutkan pelajaran di Hale School, Perth, Australia pada tahun 1999 sehingga akhir tahun 2002.

Ketenteraan:

Baginda menjalani latihan ketenteraan sebagai Pegawai Kadet di Indian Military Academy (IMA), Dehradun, India, pada 17 Julai 2003 sehingga 11 Disember 2004 sebelum ditauliahkan pangkat Leftenan dalam upacara tamat latihan.

Baginda ditempatkan di Unit 61 Cavalry Tentera Darat India, Jaipur, India, selama dua tahun mulai 15 Disember 2004 sehingga 14 Disember 2006.

Tunku Ismail pada Majlis Istiadat Pelantikan sebagai Pemangku Sultan Johor di Istana Bukit Serene, pada Ahad. - Foto Royal Press Office
Tunku Ismail pada Majlis Istiadat Pelantikan sebagai Pemangku Sultan Johor di Istana Bukit Serene, pada Ahad. - Foto Royal Press Office

Kehebatan Tunku Ismail berkuda terbukti jelas apabila baginda dianugerahkan 'Best In Riding' yang selanjutnya mengangkat kecemerlangan kepada IMA.

Tunku Ismail menempa sejarah apabila menjadi rakyat asing pertama menyertai rejimen berkuda tentera India memberi tabik hormat kepada Presiden India, APJ Abdul Kalam sempena sambutan Hari Kebangsaan India ke-58 pada 20 Januari 2007, yang turut dihadiri tetamu kenamaan termasuk Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Pada 14 Julai sehingga 23 September 2008 Tunku Ismail melaksanakan Kursus Kepakaran Gerak Khas di Kem Iskandar, Mersing, dan pada 9 Oktober sehingga 19 November 2008 mengikuti Kursus Asas Payung Terjun di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULAPAK).

Istiadat pelantikan berlangsung di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Foto Royal Press Office
Istiadat pelantikan berlangsung di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Foto Royal Press Office

Pada 1 Ogos 2010, Tunku Ismail dianugerah Beret Hijau Kehormat Grup Gerak Khas (GGK) atas kepimpinan dan sumbangan buah fikiran dalam mempertingkatkan keupayaan GGK.

Pemasyuran:

Tunku Ismail dimasyhurkan sebagai Raja Muda Johor pada 8 April 2006 dan kemudian sebagai Tunku Mahkota Johor pada 28 Januari 2010.

Jawatan disandang:

1. Penaung Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) (sejak 2012 - kini).

2. Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) (sejak 2016 - kini)

3. Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) (sejak 3 Disember 2022 - kini)

Sukan:

Sukan kegemaran Tunku Ismail antaranya polo dan bola sepak.

Selaku Presiden PBNJ sejak 16 Februari 2012, baginda telah membangun, menerajui dan mengangkat pasukan bola sepak Johor ke tahap berprestasi tinggi dan disegani.

Tunku Ismail dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017-2021 selepas menang tanpa bertanding pada Kongres FAM ke-53, 25 Mac 2017.

Kehidupan peribadi

Tunku Ismail berkahwin dengan Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor di Istana Bukit Serene di sini pada 24 Oktober 2014.

Pasangan diraja itu dikurniakan empat cahaya mata terdiri daripada dua putera dan dua puteri iaitu Tunku Khalsom Aminah Sofiah, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim, Tunku Abu Bakar Ibrahim dan Tunku Zahrah Zarith Aziyah.- Bernama