Indeks nilai seunit eksport Malaysia susut pada Disember 2023

Mohd Uzir Mahidin. Foto Bernama
Mohd Uzir Mahidin. Foto Bernama
A
A
A

INDEKS nilai seunit eksport Malaysia susut 0.9 peratus kepada 148.0 mata pada Disember 2023 berbanding 149.3 mata dalam bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Jumaat.

Indeks nilai seunit import turun 1.0 peratus kepada 129.6 mata daripada 130.9 mata manakala terma perdagangan Malaysia sebaliknya meningkat 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 114.6 mata.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan indeks nilai seunit eksport pada Disember 2023 berbanding bulan sebelumnya adalah disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (-3.6 peratus), minyak galian (-2.4 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (-0.5 peratus).

"Pada masa sama, indeks volum eksport susut 1.8 peratus selaras dengan penyusutan indeks minyak galian (-14.8 peratus), makanan (-8.0 peratus) dan bahan kimia (-3.9 peratus)," katanya dalam kenyataan Indeks Perdagangan Luar Negara Malaysia Disember 2023.

Penerbitan itu memaparkan statistik indeks nilai seunit, indeks volum dan terma perdagangan meliputi 10 seksyen komoditi produk barangan selaras dengan Klasifikasi Standard Perdagangan Antarabangsa (SITC).

Menjelaskan selanjutnya, Mohd Uzir berkata, indeks volum eksport pelarasan bermusim merosot 9.3 peratus daripada 155.4 mata kepada 140.9 mata.

Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit naik 2.4 peratus manakala indeks volum jatuh 12.0 peratus, katanya.

Indeks nilai seunit import turun 1.0 peratus pada Disember 2023 pula disumbangkan oleh penurunan indeks minyak galian (-4.5 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-0.5 peratus) dan bahan kimia (-0.5 peratus).

Artikel Berkaitan:

Selain itu, indeks volum import turut turun 1.6 peratus pada Disember 2023 berbanding bulan sebelumnya, didorong oleh kejatuhan dalam indeks bahan kimia (-6.3 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-3.8 peratus) dan pelbagai barang keluaran kilang (-1.2 peratus).

Indeks volum import pelarasan bermusim pula naik 0.2 peratus daripada 188.1 mata kepada 188.4 mata. Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import menyusut 0.3 peratus manakala indeks volum bertambah 3.4 peratus, katanya.

Mohd Uzir berkata, di samping itu, terma perdagangan Malaysia meningkat 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 114.6 mata pada Disember 2023, dipacu oleh peningkatan indeks minyak galian (2.2 peratus), makanan (+0.9 peratus) dan bahan mentah tidak boleh dimakan (+0.8 peratus).

Terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun menokok 2.7 peratus daripada 111.6 mata pada Disember tahun lepas, katanya. - Bernama