'Hantar anak ke sekolah satu pelaburan' - Mohamad

Mohamad (dua dari kiri) menyerahkan kit peperiksaan kepada calon SPM Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sri Sendayan.
Mohamad (dua dari kiri) menyerahkan kit peperiksaan kepada calon SPM Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sri Sendayan.
A
A
A

SEREMBAN - Menghantar anak-anak ke sekolah perlu dianggap sebagai satu pelaburan yang akan memberi pulangan pada masa hadapan.

Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ibu bapa perlu memberi sepenuh kepercayaan kepada guru-guru dan pihak sekolah untuk memastikan pelaburan itu memberikan hasil yang diharapkan selain bersedia memberi kerjasama.

"Jangan ingat hantar anak ke sekolah ini sebagai perbelanjaan, tapi ia sebenarnya pelaburan iaitu saham yang kita labur dari anak kita lahir sehinggalah dia berusia 20 tahun.

"Sahamnya akan matang selepas 20 tahun, Tengoklah berapa peratus pulangan saham yang kita akan dapat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kit Peperiksaan untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sri Sendayan yang diadakan di dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Sri Sendayan di sini pada Jumaat.

Calon-calon SPM tidak melepaskan peluang bergambar dengan Mohamad.
Calon-calon SPM tidak melepaskan peluang bergambar dengan Mohamad.

Selain itu, beliau turut menyifatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru sebagai jambatan antara sekolah dan masyarakat.

Ujarnya, kedua-duanya perlu mempunyai hubungan yang baik dan kukuh demi memastikan kecemerlangan para pelajar dalam pelajaran.

Artikel Berkaitan:

"Peranan masyarakat dalam sekolah ini penting. Tapi jangan ambil tugas guru pula, jangan pula kita masuk campur atas perkara tidak sepatutnya," katanya.

Dalam pada itu, katanya, seramai 2,500 calon SPM dari 19 sekolah di kawasan Parlimen Rembau telah menerima kit peperiksaan.

Kata Mohamad, pemberian kit peperiksaan tersebut sebagai tanda ingatan beliau kepada calon-calon SPM dengan doa supaya mereka mampu menjawab peperiksaan dengan baik.