Runtuhan kecil dikesan di lokasi kejadian

Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) yang digerakkan bagi bantuan operasi mencari dan menyelamat terpaksa berjalan kaki sejauh 3 kilometer disebabkan laluan terhalang. Gambar kecil: Azri
Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) yang digerakkan bagi bantuan operasi mencari dan menyelamat terpaksa berjalan kaki sejauh 3 kilometer disebabkan laluan terhalang. Gambar kecil: Azri
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Beberapa runtuhan kecil dikesan di sekitar kawasan tragedi tanah runtuh di Batu 59, Blue Valley di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli berkata, runtuhan itu mengakibatkan laluan yang menghubungkan antara Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) ke lokasi kejadian sejauh 3 kilometer terhalang.

"Sebelum ini laluan masih boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda, tetapi sekarang kita telah terputus hubungan disebabkan beberapa kejadian tanah runtuh yang berlaku.

"Keadaan ini menyukarkan pasukan mencari dan menyelamat membawa masuk jentera dan kenderaan berat bagi membantu operasi dilakukan," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, situasi semasa di lokasi kejadian masih dalam keadaan hujan, begitupun operasi mencari mangsa yang tertimbus tetap diteruskan.

Katanya, seramai 120 anggota pelbagai agensi telah digerakkan ke lokasi kejadian melibatkan polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral Geosains (JMG), Kementerian Kesihatan (KKM), Rela, Pejabat Tanah Daerah dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Semua aspek keselamatan diambil kira dan anggota terlibat telah diingatkan untuk sentiasa berwaspada serta berjaga-jaga sekiranya berlaku runtuhan kali kedua," katanya.

Dalam perkembangan sama, Azri berkata, kejadian melibatkan lima mangsa kalangan pekerja warga Myanmar tertimbus itu adalah yang pertama dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Lokasi kejadian dikenal pasti sebagai kawasan kebun sayur dan mangsa terlibat tinggal di situ sebagai pekerja.

"Kita belum mendapatkan sebarang keterangan daripada majikan lagi kerana tumpuan diberikan kepada operasi menyelamat terlebih dahulu," katanya.