Polis tahan seorang lelaki, rampas ganja lebih RM49,000

Polis tahan seorang lelaki dan merampas 16kg ganja yang dianggarkan bernilai RM49,600.
Polis tahan seorang lelaki dan merampas 16kg ganja yang dianggarkan bernilai RM49,600.
A
A
A

PADANG BESAR - Polis menahan seorang lelaki dan merampas 16 kilogram (kg) ganja yang dianggarkan bernilai RM49,600 dalam penugasan Op Tapis Khas berdekatan Kampung Melayu di sini pada Rabu lepas.

Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, lelaki tempatan berumur 23 tahun itu ditahan polis atas maklumat penyeludupan ganja yang membawa kepada intipan berhampiran pagar sempadan Malaysia - Thailand pada 7.20 pagi.

"Polis melihat lelaki ini berjalan kaki membawa sebuah kotak menggunakan jalan tikus di sempadan Malaysia - Thailand (pada jarak 100 meter dari pagar sempadan), setelah menyedari kehadiran pihak polis, suspek bertindak mencampakkan kotak terbabit dan melarikan diri ke arah sempadan sebelum berjaya ditangkap.

"Hasil pemeriksaan di dalam kotak itu telah menjumpai 11 ketulan mampat dibaluti plastik lut sinar dan lima ketulan mampat dibaluti kerajang aluminium iaitu dadah jenis ganja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar di sini hari ini.

Baderulhisham berkata, hasil soal siasat mendapati suspek itu dipercayai mengambil upah membawa bekalan dadah yang diambil daripada pembekal di negara jiran dan menyeludup masuk ke negara ini untuk diedarkan kepada pembeli.

"Suspek dipercayai bergiat aktif dalam aktiviti ini sejak November tahun lepas. Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan hasil saringan air kencing menunjukkan suspek positif dadah methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari bermula 24 Jan lepas dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta polis masih mengesan suspek lain yang mungkin terlibat dalam kes berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: