Wajar mansuh pencen ahli politik, ganti dengan caruman KWSP

SHAH ALAM - Kerajaan wajar mempertimbangkan cadangan memansuhkan pencen ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan menggantikannya dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai simpanan selepas tamat berkhidmat.
Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Thomas Fann berkata, ada pemimpin yang hanya berkhidmat satu penggal bersamaan dengan empat hingga lima tahun sahaja sebelum berundur, namun tetap menerima pencen seumur hidup.
“Bagaimanapun, rakyat biasa seperti penjawat awam perlu berkhidmat dalam satu jangka masa yang lama atau sehingga bersara untuk menerima pencen mereka.
“Tambahan pula, ahli politik yang berkhidmat sebagai ADUN, ahli Parlimen atau menteri ini mendapat tiga pencen berasingan yang dilihat sangat tidak adil kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.