Semarak Subuh: Erat hubungan dengan ALLAH, sesama Muslim

Onn Hafiz (barisan kedua, empat dari kanan) hadir bersama 12,000 jemaah semasa Program Semarak Subuh di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn pada Sabtu.
Onn Hafiz (barisan kedua, empat dari kanan) hadir bersama 12,000 jemaah semasa Program Semarak Subuh di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Program Semarak Subuh yang dijalankan kerajaan Johor berpotensi menjadi platform untuk umat Islam di negeri ini mengeratkan hubungan dengan ALLAH SWT dan sesama muslim.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sehubungan itu, pihaknya berharap program yang diadakan pada setiap subuh Jumaat itu dapat dilaksanakan secara berterusan di seluruh negeri ini.

"Apabila kita adakan Program Semarak Subuh dan digabung dengan '#GengSubuhMacamJumaat' yang digerakkan selebriti Alif Satar, saya tengok ini satu permulaan yang baik dan saya harap kita semua umat Islam khususnya di Johor akan terus istiqamah untuk melaksanakan program ini secara berterusan.

"Sejujurnya, saya menitis air mata melihat begitu ramai orang Islam datang berbondong-bondong, ribuan manusia daripada yang berusia sehingga kanak-kanak, lelaki dan juga perempuan semua ada syukur alhamdulillah," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediaman rasminya di Saujana di sini pada Sabtu.

Beliau pada masa yang sama turut berharap daerah lain di negeri ini turut melaksanakan program itu dalam usaha mengimarahkan lagi masjid dan surau di seluruh Johor.

Semalam, lebih 12,000 jemaah hadir mengimarahkan Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn di sini dalam Program Semarak Subuh.

Onn Hafiz berkata, semenjak masjid itu didirikan, semalam merupakan kali pertama solat Subuh berjemaah terpaksa didirikan dua kali kerana terlalu ramai yang hadir.

Sementara itu, Alif menerusi satu hantaran video dalam akaun Instagram miliknya meluahkan rasa terharu dengan sambutan Program Semarak Subuh di Masjid Sultan Iskandar itu.

Artikel Berkaitan:

"Alif tengok di media sosial lebih 12,000 orang solat jemaah di masjid Johor. Masya-Allah sampai dua kali kena buat solat subuh, dua kumpulan, alhamdulillah. Ramai orang tag Alif di Instagram. Di Terengganu, Sabah, Sarawak dan Melaka semua orang dah ikut serta '#GengSubuhMacamJumaat'.

"Alif tahu kita dah usaha macam-macam tetapi '#GengSubuhMacamJumaat' ini kita benar-benar minta daripada Pencipta, doa kita ialah senjata orang mukmin, teruskan berdoa untuk saudara di Palestin," katanya.

Program Semarak Subuh merupakan inisiatif Onn Hafiz yang menyasarkan pelaksanaannya di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri Johor dengan peruntukan berjumlah RM560,000.

Program melibatkan 838 masjid dan 1,942 surau di seluruh Johor itu mula dilancarkan 5 Jan lepas dan akan diadakan pada setiap subuh Jumaat sepanjang tahun ini. - Bernama

>