Sokong atlet negara, lebih banyak tayangan skrin diadakan

Penyokong Malaysia hadir di Dataran Putrajaya bagi memberi sokongan dan menonton siaran langsung perlawanan akhir antara Malaysia menentang Korea Selatan peringkat Kumpulan E Piala Asia 2023 hari ini. Foto Bernama
Penyokong Malaysia hadir di Dataran Putrajaya bagi memberi sokongan dan menonton siaran langsung perlawanan akhir antara Malaysia menentang Korea Selatan peringkat Kumpulan E Piala Asia 2023 hari ini. Foto Bernama
A
A
A

LEBIH banyak program tayangan skrin gergasi akan diadakan bagi memberi peluang peminat sukan bersama-sama memberi sokongan kepada atlet negara yang beraksi di pentas pertandingan antarabangsa.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, tayangan tersebut akan dilakukan di lokasi yang sesuai dengan kerjasama pelbagai pihak.

"Tayangan ini bukan saja bagi perlawanan bola sepak tetapi juga perlawanan penting lain sebagai sokongan kepada atlet negara.

"Seperti sebelum ini kita buat untuk perlawanan hoki dan bola sepak, jadi dari semasa ke semasa tayangan skrin gergasi ini akan dijadikan program yang lebih sistematik selepas ia dimulakan tahun lepas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada tayangan skrin gergasi perlawanan Malaysia menentang Korea Selatan pada saingan Piala Asia 2023, di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di Ayer Keroh di sini malam ini.

Adam Adli berkata, lebih 1,500 orang hadir di Dataran MBMB untuk menyaksikan perlawanan yang disiarkan secara langsung dari Doha, Qatar dan menyaksikan kedua-dua negara seri 3-3.

Menurutnya bagi dua perlawanan sebelum ini iaitu ketika Malaysia menentang Jordan dan Bahrain, sebanyak 62,000 peminat hadir memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya melalui tayangan skrin gergasi di 16 lokasi terpilih seluruh negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: