Ubah suai belakang lori seludup diesel

Mohd Firdaus memeriksa sebuah lori yang telah diubah suai disyaki untuk melakukan aktiviti penyelewengan diesel.
Mohd Firdaus memeriksa sebuah lori yang telah diubah suai disyaki untuk melakukan aktiviti penyelewengan diesel.
A
A
A

MELAKA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menahan sebuah lori yang diubah suai bahagian belakang disyaki untuk aktiviti penyelewengan minyak diesel dalam operasi bersepadu di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) di Paya Rumput di sini pada malam Rabu.

Pengarahnya, Mohd Firdaus Shariff berkata, pemeriksaan yang dilakukan ke atas lori berkapasiti 4,500 kilogram itu menemui sebuah tangki kosong bersaiz besar dipercayai untuk diisi minyak diesel.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati lori terbabit mampu mengisi 3,000 liter minyak diesel di dalam tangki yang telah diubah suai.

"Lori itu dipandu lelaki tempatan berusia 30-an dan dipercayai dalam perjalanan mengisi diesel di stesen minyak berdekatan.

Mohd Firdaus melihat sebuah lori yang ditahan dalam operasi bersepadu di Lebuh AMJ di Paya Rumput pada malam Rabu.
Mohd Firdaus melihat sebuah lori yang ditahan dalam operasi bersepadu di Lebuh AMJ di Paya Rumput pada malam Rabu.

"Lori yang ditahan ini antara tiga kenderaan yang disita atas pelbagai kesalahan," katanya selepas operasi bersepadu di Paya Rumput di sini pada Khamis.

Jelas beliau, pihaknya juga mengeluarkan 275 notis membabitkan pelbagai kesalahan termasuk menyita tiga kenderaan terbabit.

Menurutnya, pelbagai kesalahan dikesan dan diambil tindakan dengan kesalahan paling banyak dilakukan ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insurans iaitu sebanyak 142 notis, tiada lesen memandu (73 notis), kesalahan teknikal (21 notis) dan lain-lain kesalahan (20 notis).

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebanyak 755 kenderaan juga diperiksa dan sebanyak 132 kenderaan telah diambil tindakan bagi pelbagai kesalahan membabitkan 118 kenderaan persendirian, 13 kenderaan barangan dan satu kenderaan perkhidmatan awam.

"Kenderaan yang disita dikenalpasti melakukan kesalahan tiada lesen memandu, cukai jalan tama tempoh atau tiada cukai jalan dan tiada perlindungan insurans," katanya.