Pemandu lori direman beri rasuah RM500 kepada JPJ

Suspek dibawa pegawai SPRM ke mahkamah untuk permohonan reman.
Suspek dibawa pegawai SPRM ke mahkamah untuk permohonan reman.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pemandu lori direman tujuh hari kerana disyaki menawarkan dan memberikan rasuah RM500 kepada penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Nurul Saqinah Rosli selepas permohonan dibuat Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zainab Yahya di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

Reman terhadap suspek bermula 25 Januari hingga 31 Januari ini.

Suspek diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Fatimahwati Mehemad Osman.

Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia sekitar 20-an telah ditahan pada Rabu kira-kira jam 2.25 petang ketika hadir di Pejabat SPRM Cawangan Port Dickson.

Berdasarkan siasatan yang dijalankan, suspek melakukan kesalahan tersebut bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) atas kesalahan tiada lesen memandu, tiada lesen vokasional (GDL), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan pemeriksaan berkala Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) telah tamat tempoh.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan: