Tarif air: Pahang perkenal Rebat Air Makmur bantu golongan sasar

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan memperkenalkan Rebat Air Makmur (RAM) melibatkan golongan sasar B40 bagi meminimumkan kesan pelarasan kadar tarif air kategori domestik yang akan berkuat kuasa mulai Februari ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pahang pada Rabu.

Menurutnya, skim itu akan melibatkan golongan B40 dalam kumpulan penerima bantuan e-Kasih, penerima bantuan i-Damak, penghuni Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Rumah Rakyat Pahang (RRP).

"Antara manfaat RAM yang bakal dinikmati golongan dinyatakan termasuk pemberian air percuma kepada golongan B40 yang menggunakan air tidak melebihi 12 meter padu sebulan.

"Tiada kenaikan caj bayaran bil air bulanan dikenakan bagi golongan B40 terlibat yang menggunakan air di antara 13 meter padu hingga 24 meter padu sebulan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Wan Rosdy berkata, bayaran pada kadar baharu akan lebih rendah berbanding kadar terdahulu selepas pemberian RAM.

"Kenaikan minima bagi golongan B40 terlibat yang menggunakan air 25 meter padu dan ke atas sebulan menerusi pemberian RAM ialah RM10 sebulan.

"Jumlah keseluruhan golongan sasar yang menerima impak RAM seramai 38,000 pengguna dengan implikasi kewangan RM4.6 juta setahun," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, RAM akan diberi secara automatik kepada semua pengguna golongan sasar.

"Bagi pengguna yang tergolong dalam golongan sasar namun tidak menerima rebat secara automatik atas sebab tertentu, boleh memohon dan menyemak di kaunter Pejabat-pejabat Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Daerah terdekat bermula 25 Januari ini.

"Skim RAM ini membuktikan kerajaan negeri sentiasa mendengar pandangan pelbagai pihak ketika pelarasan tarif air tidak dapat dielakkan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air di masa hadapan," ujarnya.

Beliau berkata, Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) sebagai operator perkhidmatan bekalan air juga diminta untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, merangka perancangan strategik dan seterusnya mewujudkan situasi ‘menang menang’ kepada semua pihak yang terlibat.

"Selama 40 tahun Pahang tidak melakukan penyelarasan tarif air dan sudah tiba masanya kerajaan negeri memulakan langkah bagi memastikan keterjaminan, meningkatkan kecekapan operasi serta kualiti perkhidmatan bekalan air di masa hadapan," jelasnya.