Kumpul baju terpakai bantu golongan memerlukan

Sukarelawan Pertubuhan Rumah Amal Bakti sedang memilih dan mengasingkan pakaian mengikut saiz di pusat pengumpulan bersebelahan Masjid Sultanah Bahiyah.
Sukarelawan Pertubuhan Rumah Amal Bakti sedang memilih dan mengasingkan pakaian mengikut saiz di pusat pengumpulan bersebelahan Masjid Sultanah Bahiyah.
A
A
A

ALOR SETAR - Sekumpulan suri rumah mengambil inisiatif mengumpul pakaian terpakai untuk disumbangkan kepada golongan kurang berkemampuan.

Pengerusi Pertubuhan Rumah Amal Bakti, Rosiah Ramli berkata, kerja amal dilakukan golongan ibu ini dilakukan bagi membantu dan menceriakan golongan asnaf, ibu tunggal, anak yatim dan mereka dalam kesusahan.

Menurut beliau, aktiviti mengumpul barangan terpakai termasuklah baju, tudung dan beg itu dilakukan sejak beberapa tahun lepas.

"Tiada yang lebih menggembirakan kami kecuali dapat mengukir senyuman pada wajah mereka memerlukan walaupun sumbangan diterima hanyalah pakaian terpakai.

"Kadang-kala, kami beri baju terpakai tetapi mereka amat gembira kerana akhirnya sudah ada baju raya, jadi ia jadi tanggungjawab supaya mereka merasa baju baharu," katanya ketika ditemui di Masjid Sultanah Bahiyah, di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, seramai 15 sukarelawan terdiri daripada golongan ibu akan membantu mengasingkan baju terpakai yang diterima setiap hari.

Rosiah
Rosiah

"Selepas baju disusun mengikut saiz dan kategori, kami akan agihkan kepada penduduk memerlukan terutamanya di kawasan pedalaman," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Rosiah, mana-mana pihak dan individu yang berhasrat menyumbang boleh terus menghantar ke pusat pengumpulan di rumah tamu Institut Pengurusan dan Integriti Negeri Kedah (Inspin) bersebelahan Masjid Sultanah Bahiyah.

"Selain pakaian terpakai, adakalanya kami juga menerima pakaian baharu dan berjenama daripada pelbagai pihak untuk diagihkan kepada insan memerlukan ini, jadi kami amat berterima kasih atas keprihatinan mereka," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya juga turut menyumbangkan barangan keperluan harian kepada golongan memerlukan seperti ibu tunggal dan asnaf.

Sehubungan itu, katanya, pertubuhan itu juga memerlukan sumbangan barangan keperluan asas seperti beras, gula dan biskut untuk membantu golongan memerlukan itu.

"Sumbangan ini adalah bagi membolehkan kami membantu kepada ibu-ibu tunggal, orang susah dan asnaf yang datang ke pejabat untuk minta beras.

"Sebenarnya, kami tak ada dana tapi Alhamdulillah ada juga yang insan yang sentiasa memberi sokongan dan menghantar bantuan,"katanya.