Bekas setiausaha politik menteri antara empat ditahan SPRM

Empat individu ditahan SPRM kerana dipercayai terlibat menerima suapan daripada beberapa syarikat serta kontraktor yang mendapat tender di sebuah kementerian. Foto Ihsan SPRM.
Empat individu ditahan SPRM kerana dipercayai terlibat menerima suapan daripada beberapa syarikat serta kontraktor yang mendapat tender di sebuah kementerian. Foto Ihsan SPRM.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mereman empat ahli perniagaan termasuk seorang bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri dan seorang individu bergelar Datuk Seri.

Sumber berkata, kesemua yang ditahan disyaki menerima suapan daripada beberapa syarikat serta kontraktor yang telah mendapat tender di sebuah kementerian.

Katanya, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan tiga suspek direman selama empat hari bermula Rabu sehingga Sabtu ini, manakala seorang lagi suspek direman selama tiga hari sehingga Jumaat.

Menurutnya, permohonan reman tersebut dipohon oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada pagi Rabu.

"Penahanan terhadap keempat-empat suspek dibuat selepas suspek utama yang sebelum ini bekerja sebagai setiausaha politik kepada seorang bekas menteri dipercayai telah meminta dan menerima suapan bagi memastikan tender pembekalan di sebuah kementerian berjaya diperoleh pihak kontraktor.

Suspek menerima suapan daripada syarikat serta kontraktor yang mendapat tender di sebuah kementerian dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu bagi tahanan reman. Foto Ihsan SPRM.
Suspek menerima suapan daripada syarikat serta kontraktor yang mendapat tender di sebuah kementerian dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu bagi tahanan reman. Foto Ihsan SPRM.

"Keempat-empat suspek lelaki tersebut dipercayai telah menerima suapan daripada beberapa syarikat termasuk kontraktor yang mendapat tender kerja di sebuah kementerian sekitar 2020 hingga 2021 bernilai jutaan ringgit.

"Kesemua suspek telah ditahan sekitar jam 7 hingga 8.30 malam tadi iaitu tiga orang di ibu pejabat SPRM ketika hadir bagi direkodkan keterangan, manakala seorang lagi ditahan di sekitar Shah Alam, Selangor," katanya pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, SPRM juga berkemungkinan akan memanggil beberapa individu lain bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan.