SD Abdul Murad: Dakwaan SPRM tidak siasat Anwar tidak benar

SPRM
SPRM
A
A
A

PUTRAJAYA - Dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menjalankan siasatan terhadap perkara yang dibangkitkan dalam akuan bersumpah (SD) bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Murad Khalid adalah tidak benar.

Berdasarkan rekod, SPRM berkata, Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu telah membuka sebanyak enam kertas siasatan untuk menyiasat Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan SD yang dikeluarkan Abdul Murad pada tahun 1999.

"Siasatan telah dijalankan secara mendalam, menyeluruh dan terperinci dengan bantuan Bank Negara Malaysia (BNM) termasuk di dalam dan luar negara seperti United Kingdom dan Singapura," kata SPRM dalam kenyataan pada Rabu.

Ujar SPRM, hasil siasatan menunjukkan tiada sebarang kes terhadap Anwar.

"Enam kertas siasatan tersebut telah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara pada 12 Ogos 2002 dan Pejabat Peguam Negara telah memutuskan tiada pertuduhan dikenakan kepada mana-mana pihak," jelasnya.

Justeru, SPRM menekankan bahawa dakwaan BPR atau SPRM tidak menjalankan siasatan terhadap Anwar berhubung SD itu adalah tidak benar sama sekali.

Malah kata SPRM perkara tersebut berlaku semasa kepimpinan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Isnin lalu, Dr Mahathir mempersoalkan pihak berkuasa tidak melakukan siasatan terhadap SD Abdul Murad yang mendakwa Anwar ketika itu memiliki RM3 bilion dalam lebih 20 akaun induk.

Artikel Berkaitan: