59 NGO gesa hentikan usaha ganggu kestabilan negara

Shamsul (tengah) menerima memorandum daripada Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia Mohammad Fazril Mohd Saleh.
Shamsul (tengah) menerima memorandum daripada Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia Mohammad Fazril Mohd Saleh.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebarang usaha mengganggu gugat kestabilan perjalanan pentadbiran negara melalui jalan selain pilihan raya umum (PRU) adalah tidak wajar dan mesti dihentikan.

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Aliemran Norasid berkata, ketika ini terdapat segelintir pihak yang masih belum puas melakukan usaha sabotaj.

"Tanpa sebarang sebab yang kukuh, langkah 'politiking' oleh segelintir politikus dengan modus operandi pintu belakang atau tebuk-atap ala Langkah Sheraton, adalah suatu tindakan yang jelas tidak bermoral dan melanggar konsensus nasional," katanya ketika ditemui di hadapan bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada Rabu.

Ujar beliau, jika perancangan pintu belakang dan tebuk atap berlaku, pasti ia akan mencetuskan konflik berterusan yang menyebabkan kondisi sosio-politik negara terus terumbang-ambing dan tidak stabil.

Malah katanya, negara juga semakin bergoncang, seterusnya menjauhkan lagi kepercayaan rakyat dan komuniti global termasuk para pelabur, daripada kerajaan yang tidak dipercayai.

"Kami, selaku warganegara yang peduli dan sayangkan tanah air, menilai situasi perpolitikan semasa ini sebagai berbahaya kepada kestabilan negara.

Wakil daripada NGO yang menyatakan sokongan terhadap kerajaan sedia ada.
Wakil daripada NGO yang menyatakan sokongan terhadap kerajaan sedia ada.

"Ia dapat dilihat sebagai pengkhianatan kepada aspirasi rakyat pasca PRU-15 dan suatu penghinaan terhadap keabsahan Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk atas perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong," jelas Aliemran.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, rakyat tidak memerlukan sebarang langkah 'politiking' atau pintu belakang dan tiada sebarang alasan untuk perkara itu berlaku sekali lagi.

"Lebih malang, sekiranya langkah 'politiking' ini disandarkan kepada sentimen kaum dan agama yang dimanipulasi secara salah, pasti akan memburukkan lagi keadaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh rakyat supaya tidak termakan umpan makhluk politik berkepentingan yang akan menjerumuskan negara kepada kehancuran.

"Teruskan mendukung kestabilan kerajaan sedia ada sehingga rakyat sekali lagi melakukan tanggungjawab demokratik dalam PRU ke-16 akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Aliemran berkata, satu mekanisme perundangan perlu diwujudkan agar dapat mengekalkan pentadbiran kerajaan sehingga tamat tempoh seperti penggubalan Akta Penggal Tetap Parlimen yang disesuaikan dengan merangkumi tindakan menghalang sebarang langkah yang boleh menjejaskan demokrasi berparlimen dan kestabilan negara.

"Kesemua ahli Parlimen harus terus berkhidmat untuk kesejahteraan rakyat dan negara serta wajib untuk menjauhi sebarang cubaan berniat jahat dengan kaedah pintu belakang dan tebuk atap yang berhasrat untuk menjatuhkan kerajaan," katanya.

Terdahulu, ABIM bersama lima wakil daripada 58 badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepada Anwar menerusi Setiausaha Politik Kanan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.