MACSA bangkit isu Islamofobia ke PBB

Seramai lapan orang delegasi MACSA menghadiri Sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) yang diketuai Lukman Sheriff. Foto MACSA
Seramai lapan orang delegasi MACSA menghadiri Sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) yang diketuai Lukman Sheriff. Foto MACSA
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) akan membangkitkan Islamofobia sebagai isu utama ketika sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland pada Khamis.

Pengerusi MACSA, Lukman Sheriff Alias berkata, pihaknya akan mengesyorkan rekomendasi bagi mengatasi masalah Islamofobia dalam masyarakat di Malaysia yang berkaitan dengan diskriminasi berdasarkan kepercayaan.

Menurutnya, antara lain yang dibawa termasuk juga mengenai kebebasan serta sekatan bersuara di media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan sebagainya berhubung isu Palestin.

“Di persada antarabangsa, MACSA menyokong penuh peranan Malaysia dalam membantah sekeras-kerasnya penindasan hak asasi manusia yang giat dilakukan, antaranya terhadap rakyat Palestin dan Rohingya di Myanmar.

“Selain itu, isu peminggiran masyarakat daripada pembangunan ekonomi, sosial dan budaya meliputi golongan orang tidak bernegara serta pelarian turut menjadi perhatian dalam laporan ini.

“MACSA juga menyentuh mengenai isu keganasan domestik, eksploitasi kanak-kanak dan diskriminasi ke atas Muslim,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Tambah Lukman Sheriff, MACSA telah menggabungkan 13 laporan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) bagi sesi UPR ke atas Malaysia.

Beliau berkata, seramai lapan orang menyertai delegasi tersebut termasuk Pengerusi Bersama MACSA, Profesor Rafidah Hanim.

Artikel Berkaitan:

“Ia turut diiringi Profesor Mohd Afandi Salleh, Profesor Madya Dr Siti Zubaidah Ismail, Wan Roslili Majid, Ku Amirul Faiz Ku Seman, Fatihah Iliani Jamhari dan Nur Farihah Meor Mazli,” ujarnya.