[VIDEO] Kertas siasatan terhadap Tun M mengenai kaum India hampir siap

A
A
A

JOHOR BAHRU - Kertas siasatan berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai masyarakat India didakwa tidak setia kepada negara, dijangka siap dalam terdekat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan berkenaan seterusnya akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

"Semalam kita sudah ambil percakapan Tun Dr Mahathir dan siasatan diteruskan."Dalam masa tiga hingga empat hari lagi, mungkin kertas siasatan akan dirujuk kepada Peguam Negara selepas siasatan kita selesai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor sempena Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor, Timbalan Ketua Polis Johor dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Johor pada Rabu.

Razarudin (kiri) ketika sidang media selepas hadir menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini. Foto Bernama
Razarudin (kiri) ketika sidang media selepas hadir menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini. Foto Bernama

Dalam pada itu, Razarudin menafikan dakwaan Dr Mahathir bahawa beliau seolah-olah diperlakukan seperti ‘penjenayah’ selepas lebih 10 kali disoal siasat oleh polis sejak beberapa tahun lalu.

Tegas Razarudin, dakwaan itu sama sekali tidak benar kerana rakaman percakapan dan soal siasat dilakukan bagi melengkapkan siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Di pihak polis, kita tetap teruskan siasatan.

"Kalau siasatan tidak lengkap, maksudnya polis berat sebelah.

"Sebab itu polis rakam percakapan.

"Kalau tidak di Bukit Aman, rakaman percakapan diambil di tempat yang sesuai sebagaimana yang Tun Mahathir mohon," katanya.

Pada Selasa, Dr Mahathir mendakwa, boleh dikatakan beliau pasti akan disiasat setiap kali mengeluarkan kenyataan, sedangkan ada pihak lain yang mengeluarkan kenyataan perkauman tidak disiasat.

Sebelum itu, Dr Mahathir selesai memberikan keterangan kepada tiga anggota polis di bangunan yayasan itu kira-kira jam 4 petang Selasa.

Menurutnya, sebanyak 19 soalan ditanyakan kepada beliau berkaitan temu bualnya bersama televisyen India baru-baru ini.

Tambahnya, beliau menjawab semua soalan yang boleh dijawab dan selebihnya akan dijawab di mahkamah.

Dakwaan Dr Mahathir bahawa masyarakat India di negara ini tidak setia menerusi satu temu bual bicara baru-baru ini mengundang kecaman ramai.

Beliau mendakwa masyarakat India di negara ini masih terikat dengan negara asal mereka.

Kenyataan bekas Perdana Menteri itu kemudiannya ditempelak banyak pihak dan terdapat beberapa pihak yang bertindak membuat laporan polis.