Masters Malaysia: Pemain negara perlu akhiri kemarau juara

Lee Zii Jia -Foto Bernama
Lee Zii Jia -Foto Bernama
A
A
A

KEJOHANAN Badminton Masters Malaysia akan berlangsung dari 7 hingga 12 Januari ini di Axiata Arena dan adakah pemain badminton negara mampu untuk kembali mendapat rentak kemenangan pada kejohanan pembukaan musim ini?

Pemain tuan rumah adalah pemenang besar dalam kejohanan ini sejak penganjuran sulungnya pada 2009, tetapi kini dengan tanpa sebarang gelaran sejak 2017, selepas Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menjuarai beregu campuran buat kali terakhir.

Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei sering menggembirakan penyokong tuan rumah gembira selepas memenangi kejuaraan itu sejak edisi sulungnya dan kali terakhir ialah pada edisi 2016 di Pulau Pinang.

Pemain nombor satu dunia semasa dan mempunyai prospek pemenang pingat emas Olimpik Tokyo 2020, Kento Momota dilihat amat berminat untuk menambah gelaran Masters Malaysia dalam koleksinya, selepas kalah mengejut dengan rakan senegara Kenta Nishimoto dalam pusingan pertama Masters Malaysia tahun lepas.

Bagaimanapun, selepas memenangi 11 kejuaraan tahun lepas, usaha Momota untuk menjuarai perseorangan Masters Malaysia buat julung kalinya tidak semudah disangka dengan pemain Korea Selatan Son Wan Ho, Viktor Axelsen (Denmark) dan pemain dari Hong Kong Angus Ng menguasai tiga edisi sebelum ini.

Bagi perseorangan wanita jelas dikuasai India dan Thailand sementara China beransur-ansur kehilangan penguasaan di dalam kategori ini dengan piala terakhirnya disumbangkan Yao Xue pada 2014. Semua mata kini tertumpu kepada jaguh wanita Thailand, Ratchanok Intanon yang mengejar kejuaraan hatrik dalam kejohanan kali ini selepas menjuarainya pada edisi 2018 dan 2019.

“Jaguh Taiwan dan nombor satu dunia Tai Tzu Ying tidak bernasib baik setakat ini dalam persaingan perseorangan wanita tetapi India menerusi Pusarla V Sindhu (Juara 2013 dan 2016) dan Juara 2017, Saina Nehwal mengetuai skuad negaranya, mereka tidak disangkal lagi sebagai satu daripada tumpuan peminat kali ini,” kata penganjur dalam satu kenyataan hari ini.

Indonesia kekal menjadi tumpuan dalam beregu lelaki selepas menjuarai kategori berkenaan empat kali pada kejohanan ini dengan Marcus Gideon-Kevin Sanjaya menjuarai kategori ini dua kali pada 2016 dan 2019 dan Berry Angriawan-Hardianto memenanginya pada 2017, sementara Fajar Alfian-Muhammad Rian Adrianto menang bergaya dengan menyingkirkan pasukan pilihan tuan rumah Goh V Shem-Tan Wee Kiong pada final 2018.

Artikel Berkaitan:

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio de Janeiro, V Shem merasai kejuaraan pada kejohanan ini bersama gandingannya dalam edisi 2013 sebelum ini, Lim Khim Wah, tetapi bekas pasangan beregu lelaki Koo Kien Keat-Tan Boon Heong merupakan kombinasi yang paling berjaya dengan tiga kejuaraan pada 2009, 2011 dan 2012.

Dengan Sukan Olimpik Tokyo semakin menghampiri di tempat sendiri, pemain Jepun dijangka akan beraksi bersungguh-sungguh untuk menonjolkan diri dengan juara bertahan Yuki Fukushima/Sayaka Hirota dan Yuta Watanabe/Arisa Higashino masing-masing akan sekali lagi diharap menjuarai beregu wanita dan beregu campuran.

Bagi Malaysia, harapan tinggi diletakkan ke atas Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Aaron Chia/Soh Wooi Yik dan V Shem/Wee Kiong (beregu lelaki), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan Tan Kian Meng- Lai Pei Jing (beregu campuran) untuk melakukan kejutan dan mengujakan peminat tempatan, sementara Goh Jin Wei (perseorangan wanita), yang kembali beraksi selepas menjalani pembedahan kolektomi, untuk mengeluarkan sebahagian daripada usus besarnya Oktober lepas tidak diletakkan harapan yang tinggi. - Bernama