18 bulan penjara, denda RM3,000 jika goda isteri orang di Sabah

Mohd Arifin ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan di Mahkamah Syariah Kota Kinabalu bersama Mohammad Fahmi pada Selasa.
Mohd Arifin ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan di Mahkamah Syariah Kota Kinabalu bersama Mohammad Fahmi pada Selasa.
A
A
A

KOTA KINABALU - Lelaki Islam yang menggoda isteri orang di Sabah boleh dikenakan tindakan di bawah enakmen Mahkamah Anak Negeri (MAN) Sabah.

Malah denda yang dikenakan kepada pesalah lebih besar di bawah enakmen MAN Sabah jika melibatkan perbuatan seorang lelaki memikat isteri orang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah merangkap Exco Hal Ehwal Agama Islam Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif menjelaskan bahawa Sabah juga mempunyai enakmen di bawah Mahkamah Syariah Sabah.

"Di Sabah pun kita ada enakmen berkenaan iaitu Seksyen 86 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah 1995, tetapi enakmen MAN pun ada.

"Malah undang-undang dalam enakmen MAN Sabah lebih besar dari segi dendanya iaitu tiga ekor ternakan dan jika tidak mematuhi boleh dikenakan 18 bulan penjara atau denda sebanyak RM3,000," katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Mahkamah Syariah Kota Kinabalu di Likas pada Selasa.

Dalam lawatan itu turut dihadiri oleh Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah yang hadir untuk menyempurnakan lawatan rasmi pentadbiran kerajaan Selangor.

Jelas beliau lagi, kes gangguan rumah tangga membabitkan orang ketiga bagi mereka yang beragama Islam juga boleh dikenakan hukuman tersebut berdasarkan adat di Sabah di bawah enakmen MAN.

"Bagaimanapun, setakat ini belum ada kes berkenaan berlaku termasuk di Mahkamah Syariah dan mudah-mudahan ia tidak akan berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, diminta mengulas mengenai cadangan mewujudkan enakmen baharu, Mohd Ariffin memaklumkan, ia akan dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun ini juga.

"Insya-ALLAH dalam Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Negeri Sabah (JAKTUS) ini akan menyusun bersama-sama mengenai enakmen ini dan ia dipengerusikan oleh Peguam Besar Negeri Sabah, mudah-mudahan apabila selesai kita boleh bawa ke DUN Sabah.

"Kita jangka pertengahan sidang DUN satu atau dua Rang Undang-Undang (RUU) kita bentangkan dan selebihnya kita akan bincangkan selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengwujudan tiga enakmen baharu iaitu Enakmen Mahkamah Syariah 2024, Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2024 dan Enakmen Perwarisan Harta Pusaka Orang Islam 2024 yang dibentangkan Ketua Hakim Syarie Sabah, Ahadin Arinen.