Kenapa ibu bapa 'elak' hantar anak ke sekolah kerajaan?

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

ISU pendidikan di negara ini sering kali menjadi antara topik dibincangkan dan diwacanakan pelbagai pihak berkepentingan baik Kementerian Pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pendidikan, malah ibu bapa.

Sudah pasti ia berkaitan masa depan anak-anak yang bakal memasuki alam persekolahan mahupun sedang berada di bangku persekolahan.

Baru-baru ini, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad mendakwa, semakin ramai ibu bapa memilih untuk tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah harian kebangsaan dan menengah kebangsaan.

Sebaliknya, berdasarkan data-data pendidikan terkini, ibu bapa bumiputera berlumba-lumba menghantar anak mereka ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah berasrama penuh (SBP).

Ramai juga ibu bapa bumiputera menghantar anak-anak mereka ke sekolah Cina.

Trend tersebut menunjukkan kadar enrolmen murid meningkat 18 peratus pada 2017 kepada 21 peratus pada 2022.

Tidak kurang juga ibu bapa berkemampuan semakin ramai menghantar anak-anak ke sekolah antarabangsa dan sebahagian yang beragama Islam lebih suka menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz swasta.

Terdapat juga trend semakin ramai ibu bapa berpendidikan tinggi membuat keputusan mengamalkan pendidikan homeschooling untuk anak-anak mereka.

Artikel Berkaitan:

Timbul persoalan, mengapa ibu bapa atau penjaga cuba ‘mengelak’ daripada menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan atau menengah kebangsaan?

Walaupun ia pilihan masing-masing dan bukan satu kesalahan, tetapi perkara ini perlu diambil perhatian oleh Kementerian Pendidikan bagi mengenal pasti puncanya.

Jika ia disebabkan oleh rasa kurang yakin kepada tahap keupayaan sekolah harian untuk melahirkan pelajar cemerlang, perlu ada perancangan daripada kementerian untuk mengembalikan keyakinan ibu bapa.

Sekiranya sekolah kebangsaan dan menengah kebangsaan dirasakan tidak mencapai kualiti seperti diharapkan, kementerian perlu memikirkan formula untuk meningkatkan mutu pendidikan.

Begitu juga seandainya ibu bapa merasakan sekolah harian kebangsaan tidak menggembirakan dan membebankan anak-anak, perlu ada usaha menarik minat mereka untuk belajar dan mengurangkan beban dihadapi.