Semakin ramai ibu bapa elak hantar anak ke SK dan SMK - Pensyarah

Kenyataan yang dimuat naik Anuar di akaun Facebook miliknya.
Kenyataan yang dimuat naik Anuar di akaun Facebook miliknya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pensyarah kanan pendidikan mendakwa semakin ramai ibu bapa mahu 'mengelak atau 'by pass' daripada menghantar anak-anak mereka ke sekolah harian biasa sama ada sekolah kebangsaan (SK) atau sekolah menengah kebangsaan (SMK).

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, data menunjukkan semakin ramai ibu bapa Bumiputera menghantar anak-anak ke sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC)

Menurutnya,sejak lima tahun lalu, kadar enrolmen murid Bumiputera di sekolah Cina meningkat dari 18 peratus (2017) kepada 21 peratus murid (2022).

Dakwanya, pada tahun 2010, kadar murid Bumiputera di SJKC hanya 10 peratus.

“Selain itu, ramai ibu bapa juga beranggapan anak-anak mereka perlu ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi menjamin masa depan dan menganggap sekolah biasa tiada keistimewaan.

“Berdasarkan tinjauan yang dibuat rata-rata ibu bapa menganggap melanjutkan pelajaran ke sekolah dianggap ‘elit’ itu didakwa mempunyai silibus yang lebih bagus dan pengajiannya lebih tersusun serta berfokus,” katanya menerusi Facebook pada Selasa.

Anuar berkata, di satu sudut lain, ibu bapa yang berkemampuan pula semakin ramai menghantar anak-anak mereka ke sekolah antarabangsa.

“Dulu hanya ibu bapa yang betul-betul kaya sahaja tetapi sekarang ada ibu bapa yang sanggup ambil pinjaman semata-mata untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah antarabangsa," dakwanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, ibu bapa juga kini dilihat cenderung untuk menghantar anak mereka ke sekolah tahfiz dan mengamalkan pendidikan 'homeschooling'.

"Sebahagian ibu bapa yang beragama Islam lebih suka menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz swasta hinggakan bilangannya tumbuh seperti 'cendawan selepas hujan' di negara ini, termasuklah pusat tahfiz yang tidak berdaftar.

"Trend terkini juga menunjukkan semakin ramai ibu bapa yang berpendidikan tinggi membuat keputusan mengamalkan pendidikan 'homeschooling' untuk anak-anak mereka," katanya.

Beliau berkata, timbul persoalan mengapa semakin ramai ibu bapa yang memilih untuk 'by pass' sekolah harian (SK dan SMK).

“Apakah kerana mereka kurang percaya pada keupayaan sekolah harian atau rasa ia tidak mencapai kualiti yang diharapkan?” soalnya menerusi Facebook pada Selasa.

Anuar berkata, apakah isu itu timbul kerana ibu bapa berasa sekolah harian kebangsaan tidak mampu memenuhi keperluan pembelajaran anak-anak mereka.

“Atau apakah ibu bapa merasakan sekolah harian kebangsaan terlalu Islamik atau melihat sekolah harian ibarat seekor 'dinasour' walaupun bersaiz besar tetapi sudah 'ketinggalan zaman dan semakin hari semakin 'pupus',” ujarnya.