Penyokong Indonesia harap Jepun turunkan 'copy ori' Onana

Suzuki dilabel sebagai jelmaan Andre Onana selepas aksi goyah di peringkat kumpulan Piala Asia. Foto Agensi
Suzuki dilabel sebagai jelmaan Andre Onana selepas aksi goyah di peringkat kumpulan Piala Asia. Foto Agensi
A
A
A

JIKA dalam skuad Harimau Malaya ada si botak dan ikan keli (The Keli Boy), dalam pasukan Jepun pula ada 'copy ori' Andre Onana.

Pun begitu, gelaran 'copy ori' Andre Onana yang merujuk kepada penjaga gol Zion Suzuki bukan datang dari peminat Samurai Biru.

Sebaliknya, gelaran tersebut diberikan peminat Indonesia susulan aksi goyah Suzuki dalam dua perlawanan peringkat Kumpulan D sepanjang kempen Piala Asia di Qatar.

Suzuki yang sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United telah melepaskan enam gol dalam pertemuan menentang Vietnam dan Iraq.

Susulan aksi goyahnya di benteng terakhir Samurai Biru, pemain kacukan Jepun-Ghana berusia 21 tahun itu dilabel sebagai Andre Onana versi Jepun.

Bagi memahami konteks, Onana yang dibawa masuk dari Inter Milan dengan yuran perpindahan 47.2 juta pound (RM273 juta) bagi menggantikan David De Gea sebagai penjaga gol utama United dikritik gara-gara kerap melakukan kesilapan mudah yang menyumbang kepada kekalahan The Red Devils.

Bekas penjaga gol Manchester United, Ben Foster misalnya percaya majikan lamanya melakukan kesilapan apabila menandatangani Onana.

Malah, legenda Liverpool, Jamie Carragher menilai prestasi penjaga gol berasal dari Cameroon itu seperti pemain amatur terutamanya pada aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Artikel Berkaitan:

Justeru tidak hairanlah, penyokong Indonesia melabelkan Suzuki sebagai jelmaan Onana kerana prestasi goyah yang dipamerkan selepas kekalahan mengejut 1-2 kepada Iraq.

Suzuki juga melakukan kesalahan dalam perlawanan pembukaan Jepun menentang Vietnam, melepaskan dua gol pada separuh masa pertama sebelum mereka mengubahnya untuk menang 4-2.

Menjelang aksi di Stadium Al Thumama Rabu ini, penyokong Indonesia membanjiri akaun Instagram Persatuan Bola Sepak Jepun dengan melancarkan serangan psikologi dan merayu agar jurulatih Hajime Moriyasu tetap menyenaraikan Suzuki pada pertemuan itu nanti.

"Jangan keras-keras Bang Hajime, 1-1 aja," komen Timnasfirst.

"Keeper: Onana," tulis Sepbol Official.

"Lawan Indo santai aja bang, mainkan Onana ya," seloroh Alesaunder.

Apa pun, dengan Iraq mara ke pusingan 16 terakhir, Jepun mesti meraih kemenangan ke atas Indonesia untuk menentukan siapa yang akan layak ke pusingan kalah mati selaku pasukan naib juara Kumpulan D, biarpun pasukan di kedudukan ketiga juga sudah memadai.

Kekalahan kepada Indonesia selepas dikejutkan Iraq akan mencalarkan imej Jepun selaku juara empat kali kejohanan dan pasukan ranking nombor satu Asia.

Indonesia pula berpeluang ke peringkat 16 terbaik Piala Asia buat kali pertama dalam sejarah selepas sekadar menamatkan saingan di peringat kumpulan dalam empat penampilan terdahulu.