Hari ini saya paling gembira: Dr Maszlee

Dr Maszlee beramah mesra dengan penduduk Simpang Renggam hari ini.
Dr Maszlee beramah mesra dengan penduduk Simpang Renggam hari ini.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM- "Hari ini saya gembira sebab dapat jumpa orang Simpang Renggam," kata bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika berucap pada Majlis Bersama Penduduk di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Simpang Renggam di sini hari ini.

Maszlee berkata, beliau tidak pernah menangis sejak mengumumkan pemulangan jawatannya pada Khamis lalu malah kini lebih berselera makan.

Beliau turut berkongsi kisahnya terlibat dalam bidang politik yang tidak mengikut 'sifir' politik seperti kebanyakan ahli politik yang bermula dari peringkat akar umbi.

Katanya, kerjaya politiknya bermula di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sebagai pensyarah dan kemudian dijemput sebagai moderator dan memberi pandangan akademik dalam wacana di Sinar Harian dan Astro Awani.

"Masuk Bersatu, tiada pengalaman politik, saya perjuangkan rakyat dalam pendidikan. Ketika itu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Tan Sri Muhyiddin Yassin) minta saya bertanding sama ada di Dewan Undangan Negeri ( DUN) Larkin dan Parlimen Simpang Renggam.

"Kemudian saya datang ke Simpang Renggam dan jatuh cinta dengan Simpang Renggam," katanya.

Terdahulu Maszlee disambut penduduk, kepimpinan masyarakat dan komponen parti Pakatan Harapan yang tidak mahu melepaskan peluang bersalam dan memeluk wakil rakyat mereka.

Dr Maszlee berkata beliau kini mempunyai banyak masa untuk berkhidmat kepada penduduk Simpang Renggam dengan merancang pelbagai program pendidikan.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan buat kad laporan Ahli Majlis Daerah Simpang Renggam. Parlimen Simpang Renggam akan menjadi Parlimen pertama yang akan membentangkan kad laporan Ahli Majlis," katanya.