Pan-gon perlu hati-hati tukar pemain

Penjaring gol kemenangan pasukan Bahrain, Ali Madan melintasi para pemain skuad Harimau Malaya pada perlawanan di antara Malaysia menentang Bahrain peringkat kumpulan E Piala Asia 2023. Foto Bernama. Gambar kecil: Zainal Abidin Hassan
Penjaring gol kemenangan pasukan Bahrain, Ali Madan melintasi para pemain skuad Harimau Malaya pada perlawanan di antara Malaysia menentang Bahrain peringkat kumpulan E Piala Asia 2023. Foto Bernama. Gambar kecil: Zainal Abidin Hassan
A
A
A

BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan mengingatkan Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon supaya lebih berhati-hati ketika melakukan pertukaran pemain ketika menentang Korea Selatan di Piala Asia 2023 pada Khamis ini.

Zainal berkata, ini bagi mengelak berlakunya kesilapan percaturan seperti ketika skuad negara itu menentang Bahrain pada Sabtu lepas.

Beliau berkata, semasa menentang Bahrain itu, keputusan Pan Gon membuat pertukaran dengan menggantikan Syamer Kutty Abba dengan Natxo Insa jelas mengubah momentum pasukan negara sekali gus membuka peluang pasukan lawan membolosi 0-1 pada minit akhir.

Justeru bekas penyerang Selangor itu berkata, kesilapan seperti itu tidak boleh diulangi Pan Gon ketika beraksi menentang pasukan negara kelahirannya bagi aksi terakhir Malaysia peringkat Kumpulan E Piala Asia 2023, Khamis ini.

“Mungkin Pan Gon memasukkan Insa kerana ingin mengawal keadaan, tetapi terbukti Malaysia diasak Bahrain.

"Jadi keputusan yang dibuat perlu diambil sebagai pengajaran kerana pasukan kita masih mentah.

“Tetapi kredit tetap harus diberi kepada Pan Gon kerana begitu lama bola sepak Malaysia kebelakang namun hanya dengan masa hampir dua tahun beliau mengubah pasukan kebangsaan,” katanya ketika ditemui Bernama di Wisma Bernama di sini semalam.

Sabtu lepas, Malaysia tumpas 0-1 kepada Bahrain dalam perlawanan kedua Kumpulan E di Stadium Jassim Bin Hamad sekali gus tersingkir daripada kempen Piala Asia 2023.

Dalam pada itu, Zainal Abidin menyifatkan pasukan Korea Selatan sebagai pasukan tangkas dan berintensiti tinggi, justeru skuad negara perlu menampilkan disiplin tinggi selain mengelakkan melakukan kesilapan-kesilapan kecil pada aksi terakhir peringkat Kumpulan E piala berprestij itu.

Artikel Berkaitan:

“Kita bermain dengan satu pasukan yang hebat dan menunggu setiap peluang, sebab kita perlu tahu, lawan Korea Selatan, lima kesalahan kita buat, empat kita dibolosi, kita kene faham dari sekarang, disiplin amat penting, bila kita hilang bola, habis,” katanya.

Malaysia selepas ini akan melengkapkan baki saingan kumpulan menentang juara dua kali Korea Selatan yang pasti akan turun memburu kemenangan dengan jumlah jaringan besar untuk melangkah ke pusingan kalah mati selaku juara.

Malaysia akan menentang Korea Selatan, Khamis ini. - Bernama