Harimau Malaya belum capai standard Piala Asia

Penjaring gol kemenangan pasukan Bahrain, Ali Madan melintasi para pemain skuad Harimau Malaya pada perlawanan di antara Malaysia menentang Bahrain peringkat kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Jassim Bin Hamad. Foto Bernama
Penjaring gol kemenangan pasukan Bahrain, Ali Madan melintasi para pemain skuad Harimau Malaya pada perlawanan di antara Malaysia menentang Bahrain peringkat kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Jassim Bin Hamad. Foto Bernama
A
A
A

PERIT tetapi itu hakikat yang terpaksa ditelan. Dua kekalahan awal menutup terus pintu buat Malaysia untuk melepasi peringkat kumpulan kempen Piala Asia 2023 di Doha, Qatar.

Bukan sahaja anggota skuad Harimau Selatan, malah seluruh penyokong bola sepak tanah air juga perlu menerima hakikat yang memeritkan itu.

Selepas tewas besar 0-4 kepada Jordan dalam aksi pembukaan minggu lalu, barisan kendalian Kim Pan-gon itu terpaksa akur mengalami kekalahan 0-1 kepada Bahrain pada Sabtu. Namun, kekalahan kepada Bahrain itu lebih menyakitkan hati.

Apa tidaknya, pada ketika Harimau Malaya berpeluang membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata, impian itu berkecai gara-gara jaringan Ali Madan pada penghujung perlawanan.

Kekalahan itu menafikan terus peluang Harimau Malaya melepasi aksi kumpulan, sekali gus memadam hajat mereka untuk mencipta sejarah layak buat kali pertama ke pusingan 16 terakhir di pentas 'Piala Dunia' Asia itu.

Cuma sesuatu yang positif dapat dilihat apabila rentak permainan Harimau Malaya lebih 'mengancam' apabila berdepan Bahrain berbanding ketika menentang Jordan.

Harimau Malaya tampak garang terutamanya dalam aksi 45 minit pertama perlawanan sehingga memperoleh beberapa peluang terbaik bagi merobek gawang Bahrain. Cuma mungkin ada sedikit faktor nasib yang tidak menyebelahi mereka.

Apa sekali pun itulah realiti Harimau Malaya. Itulah juga tahap sebenar kemampuan Harimau Malaya. Tak perlu dipersoalkan lagi, Piala Asia masih terlalu jauh untuk dikejar Harimau Malaya.

Artikel Berkaitan:

Paling penting, semua pihak harus menerima hakikat bahawa itu sahaja kualiti Harimau Malaya setakat ini. Tak perlu kita bermimpi di siang hari, lebih baik kita bersikap realistik dan berpijak di bumi nyata.

Pan-gon sendiri mengakui bahawa beliau harus menerima hakikat tersebut. Jurang kualiti antara Malaysia dan tiga pencabar mereka dalam saingan Kumpulan E Piala Asia 2023 masih jauh.

Mengikut ranking semasa, Malaysia yang menghuni tangga ke-130 dunia berada jauh di belakang pasukan gergasi Asia, Korea Selatan (23), Bahrain (86) dan Jordan (87).

Malah, ranking Malaysia terus jatuh merudum ke tangga ke-136 dunia akibat kekalahan kepada Bahrain dan Jordan - tanpa mengambil kira aksi terakhir berdepan Korea Selatan pada Khamis ini.

Apa pun penantian 42 tahun layak secara merit ke pentas Piala Asia 2023 sebelum ini tetap berada dalam lipatan sejarah bola sepak Malaysia.