Bank Negara Malaysia kekal OPR pada 3.00 peratus

Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus dalam mesyuarat pertamanya tahun ini, pada Rabu.

Bank pusat itu dalam satu kenyataan berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi.

"MPC tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri, serta akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil," katanya.

Bagi 2024, BNM menjangkakan inflasi kekal sederhana, mencerminkan secara amnya keadaan kos dan permintaan yang stabil, walaupun risiko terhadap prospek inflasi terus sangat dipengaruhi oleh perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi serta pasaran kewangan global.

Ia berkata, hasrat kerajaan untuk mengkaji semula kawalan harga dan subsidi pada 2024 akan mempengaruhi prospek keadaan inflasi dan permintaan.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, keputusan BNM untuk mengekalkan OPR adalah dijangkakan.

Beliau yakin dengan langkah itu kadar faedah penanda aras mungkin akan kekal pada 3.00 peratus dalam tempoh terdekat, dengan mengandaikan ekonomi akan bertambah baik pada 2024 walaupun berlaku ketidaktentuan inflasi yang bergantung kepada rasionalisasi subsidi dan langkah kawalan harga.

"Secara keseluruhan, kami berpendapat dasar monetari berada pada zon terhad dengan kadar faedah sebenar berada pada 1.5 peratus berbanding purata jangka panjang 0.6 peratus," katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, OPR yang stabil juga bermakna kos peminjaman akan kekal tidak berubah dan ini membolehkan isi rumah dan perniagaan membuat perancangan yang lebih baik jika mereka memutuskan untuk menilai semula struktur liabiliti mereka.

"Mereka boleh memilih untuk membiayai semula liabiliti mereka terutamanya apabila mengambil pembiayaan pada masa kadar faedah berada pada trajektori yang lebih tinggi," katanya. - Bernama