Isu tarif air tidak perlu dipolitikkan

Pengguna tidak perlu panik sebaliknya perlu lebih cekap dalam mengoptimumkan penggunaan air di kediaman masing-masing. Gambar hiasan Bernama.
Pengguna tidak perlu panik sebaliknya perlu lebih cekap dalam mengoptimumkan penggunaan air di kediaman masing-masing. Gambar hiasan Bernama.
A
A
A

PENGGUNA tidak perlu panik sebaliknya perlu lebih cekap dalam mengoptimumkan penggunaan air di kediaman masing-masing berikutan pengumuman pelarasan tarif air baharu bermula 1 Februari ini.

Ini kerana bukan semua pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan merasakan impak kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu seperti diumumkan kerajaan.

Alasan ini disokong berdasarkan data yang diperoleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) iaitu sekitar 47.8 peratus pengguna domestik merekodkan penggunaan kurang daripada 20 meter padu.

Namun, pelarasan tarif air baharu ini pastinya menarik perhatian ramai kerana rakyat tidak gemarkan sebarang berita berkaitan kenaikan harga barangan atau perkhidmatan pada masa ini.

Semua pihak perlu berfikir secara rasional terhadap sebarang langkah membabitkan pelarasan tarif air ini kerana ia sudah menjadi bahan kajian sejak sekian lama.

Baik ketika negara berada di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional atau ketika di bawah Pakatan Harapan yang mengambil alih pada 2018 dan Perikatan Nasional pada 2020 hingga 2022.

Perkara ini bertitik tolak daripada peningkatan kos dalam industri bekalan air bersih selain masalah kadar ‘kehilangan’ air yang tinggi akibat kebocoran paip yang telah usang.

Semestinya pengguna mahukan perkhidmatan yang terbaik namun kos menyediakan kemudahan terbaik kepada pengguna seluruh negara begitu menjerut semua operator air di negeri-negeri terbabit.

Artikel Berkaitan:

Paling kritikal dalam penggunaan kemudahan ini ialah Selangor yang turut membekalkan air ke Kuala Lumpur yang penduduknya antara paling tinggi kepadatannya.

Namun, Selangor masih meneruskan pemberian air percuma sejak 2008 walaupun kerajaan negeri berkenaan berdepan kos yang tinggi kerana kemudahan itu memberi kebaikan kepada rakyat.

Selain itu, Pulau Pinang juga antara negeri yang masih mengekalkan kadar tarif air terendah walaupun SPAN mengumumkan akan melaksanakan pelarasan tarif air bermula 1 Februari ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, sejak 2019 hingga 2023, tanggungan subsidi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) adalah sebanyak RM503 juta.

Begitu juga dengan Kedah yang turut terbeban dengan masalah bekalan air yang jika tiada sebarang pelarasan tarif akan lebih menyukarkan lagi syarikat operator di negeri itu untuk melaksanakan sebarang usaha menaik taraf.

Kerajaan Terengganu pula yakin pelarasan tarif baharu air bagi pengguna domestik mampu menyelesaikan pelbagai masalah air di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Hanafiah Mat dilaporkan berkata, pihaknya dan Syarikat Air Terengganu akan memanfaatkan kenaikan untuk kerja penggantian paip lama, selain membangunkan beberapa loji rawatan air baharu.

Sebagai rekod, bilangan akaun pengguna air yang aktif di negeri Terengganu sehingga November 2023 ialah 341,546, dengan 83 peratus merupakan pengguna domestik.

Sehubungan itu, sama ada negeri itu di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan atau pembangkang semua pihak tidak wajar menggunakan isu pelarasan tarif air sebagai alat politik menyerang antara satu sama lain.

Dalam masa sama, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa sebarang pengumuman kenaikan tarif hanya akan dilakukan oleh SPAN setelah diputuskan di peringkat kerajaan Persekutuan.

Menerusi Mekanisme Penetapan Tarif, SPAN mengumumkan pelarasan tarif air baharu bagi pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, menyaksikan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

Tarif baharu air itu dijangka membabitkan kenaikan caj bil dalam julat antara RM1.60 hingga RM8 bagi setiap kediaman atau lima hingga 27 sen sehari bagi penggunaan isi rumah sebanyak 20 meter padu sebulan.

* Mohd Azlim Zainury ialah wartawan Sinar Harian Selangor dan Kuala Lumpur