Tarif air di Melaka naik 16 sen

Ab Rauf (dua dari kiri) ketika ketika sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri, Ayer Keroh pada Rabu.
Ab Rauf (dua dari kiri) ketika ketika sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri, Ayer Keroh pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Tarif baharu bagi kategori pengguna domestik dan bukan domestik di Melaka naik dengan purata 16 sen bagi setiap meter padu berkuat kuasa 1 Februari depan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, angka itu menunjukkan Melaka adalah negeri keempat terendah berbanding negeri lain.

Menurutnya, pelarasan tarif baharu itu tidak dapat dielakkan berikutan kos operasi dan penyelenggaraan yang terpaksa ditanggung Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) setiap tahun mencecah RM290 juta.

"Kali terakhir pelarasan tarif domestik dilaksanakan di negeri ini pada April 2011 iaitu 13 tahun yang lalu.

"Bermula 1 Februari depan berkuat kuasa pelarasan tarif baharu melibatkan sebanyak 297,000 akaun domestik dan 46,000 akaun hujan pengguna domestik," katanya ketika sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri, di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini pada Rabu.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Abd Rashid Ab Rahman.

Ab Rauf berkata, pelarasan tarif baharu air di negeri ini tidak akan menjejaskan sejumlah 150,000 pengguna akaun domestik yang berhemah meskipun tarif air dinaikkan sebanyak 27 sen setiap meter padu bagi penggunaan dari 0 hingga 20 meter padu.

Katanya, 81,000 pengguna akaun domestik atau 27 peratus pengguna biasa dijangka mengalami kenaikan bil air bulanan secara purata hingga RM13.95 sebulan bagi penggunaan dari 21 hingga 35 meter padu.

Artikel Berkaitan:

"Pengguna lebih 35 meter padu iaitu seramai 66,000 akaun akan menerima kenaikan bil air lebih tinggi disebabkan konsep tarif punitif yang diguna pakai bagi menggelakkan penjimatan penggunaan air," katanya lagi.

Tambah beliau, pendapatan tambahan daripada pelarasan tarif air kali ini akan digunakan sebaiknya oleh SAMB bagi membiayai projek-projek menaik taraf dan penambahbaikan sistem perkhidmatan bekalan di Melaka.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu kenyataan pada 17 Januari lalu memaklumkan, tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dikuatkuasakan bermula 1 Februari ini, membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.