494 kes penipuan menyamar jadi rakan di aplikasi sosial

Jenayah ini menggunakan taktik dengan menyamar sebagai kenalan sebelum menghubungi mangsa menerusi media sosial dengan alasan untuk meminjam wang. Foto hiasan
Jenayah ini menggunakan taktik dengan menyamar sebagai kenalan sebelum menghubungi mangsa menerusi media sosial dengan alasan untuk meminjam wang. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 494 kes melibatkan kerugian RM2.5 juta berkaitan jenayah penipuan melalui penyamaran sebagai rakan dicatatkan sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kadar jenayah penipuan ini turut mencatatkan sebanyak 50 kes sehingga 20 Januari lalu.

Ramli
Ramli

Beliau berkata, rekod menunjukkan jenayah penipuan ini mencatatkan kerugian sebanyak RM2,503,803.05 pada tahun lalu dan bagi tahun ini iaitu setakat 20 Januari, sebanyak RM238,732 jumlah kerugian dicatatkan.

"Jenayah ini menggunakan taktik dengan menyamar sebagai kenalan sebelum menghubungi mangsa menerusi media sosial dengan alasan untuk meminjam wang.

"Penjenayah menggunakan medium antaranya melalui WhatsApp, Telegram dan Facebook untuk memerangkap mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Menurut Ramli, siasatan dijalankan mendapati sindiket bertindak menggodam akaun media sosial milik mangsa.

"Antaranya melibatkan akaun Telegram atau WhatsApp mangsa yang telah digodam sebelum sindiket bertindak menghubungi senarai rakan mangsa yang diperoleh menerusi akaun media sosial berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa hanya akan menyedari perkara ini berlaku apabila mereka tidak dapat mengakses akaun serta menerima panggilan daripada rakan berkaitan kesahihan pinjaman yang dilakukan," katanya.

Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya mesej berkaitan mana-mana pinjaman yang ingin dibuat.

"Walaupun akaun media sosial yang digunakan adalah daripada rakan atau individu yang dikenali, namun akaun bank yang diberi adalah akaun milik individu lain.

"Sekiranya menerima mesej berkaitan pinjaman yang ingin dilakukan rakan, selidik terlebih dahulu dengan menghubungi rakan mereka itu bagi mengetahui kesahihan berkaitan mesej yang diterima," katanya.

Tambahnya, sebarang nasihat atau maklumat lanjut boleh didapati dengan terus menghubungi pihak polis berkaitan perkara ini.

"Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh terus menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau talian info JSJK di talian 013-2111222," katanya.