Kadar minima deposit pendaftaran haji akan diteliti - Mohd Na'im

Mohd Na'im
Mohd Na'im
A
A
A

SERDANG - Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengadakan perbincangan berhubung penelitian semula kadar minimum deposit pendaftaran haji.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, pihaknya telah mengarahkan TH untuk membuat penelitian berhubung perkara itu bersesuaian dengan perkembangan dengan kos haji semasa.

"Isu berkaitan deposit ini ada dibincangkan bersama pengurusan tertinggi. Dengan jumlah minimum deposit (RM1,300), orang sudah boleh dapatkan giliran haji.

"Saya arahkan pengurusan TH untuk adakan perbincangan atau bengkel lihat semula kemungkinan untuk naikkan had minima ini supaya pendeposit yang layak ini ambil kira kos semasa haji," katanya selepas merasmikan Majlis Konvokesyen ke-16 Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Sabtu.

Pada Jumaat, TH mengumumkan kos haji untuk seorang bakal haji Muassasah untuk musim haji 1445H/2024M meningkat 8 peratus kepada RM33,300 berbanding RM30,850 pada tahun lalu.

Susulan itu, bayaran haji bagi kumpulan B40 adalah pada RM12,356, M40 dengan kadar RM19,152 dan jemaah T20 perlu membuat bayaran penuh RM33,300.

Mengulas keluhan jemaah berhubung kenaikan kos tersebut, Mohd Na'im berkata, umat Islam perlu memahami asas kewajipan haji adalah berdasarkan prinsip istito'ah iaitu mengikut kemampuan.

"Kerajaan dan TH tahun ini sahaja telah membantu melebihi RM20,000 untuk seorang jemaah B40.

Artikel Berkaitan:

"Ada juga yang masih tidak mampu walaupun kerajaan sudah berikan bantuan dan mereka hanya perlu bayar RM12,356.

"Disebabkan itu kita sarankan supaya golongan ini untuk tulis (surat) kepada TH untuk buat rayuan bagi penangguhan," katanya.

Katanya, jemaah yang memohon penangguhan itu tidak hilang hak giliran sebaliknya mereka boleh menunaikan pada tahun depan atau sehingga mereka mampu dari segi kewangan.