Penghantar makanan rayu anak terlantar sakit perlu bantuan susu khas

Isteri Irmi Shahrizan memberikan Muhammad Aqeef susu menggunakan tiub.
Isteri Irmi Shahrizan memberikan Muhammad Aqeef susu menggunakan tiub.
A
A
A

MELAKA - Keceriaan sebuah keluarga di Taman Bukit Rambai di sini berubah duka apabila anak sulungnya berusia 14 tahun menderita akibat jangkitan kuman di otak.

Irmi Shahrizan Mohd Nasir, 41, yang bekerja sebagai penghantar makanan berkata, disebabkan penyakit yang dihidapi sejak dua bulan lalu itu, anaknya, Muhammad Aqeef Irmi Shahrizan tidak dapat lagi pergi ke sekolah.

Menurutnya, bermula hanya demam panas di kampungnya di Tangkak, Johor keadaan kesihatan remaja itu semakin merosot sehingga terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka apabila diserang sawan.

"Selepas lapan hari doktor mengesahkan terdapat jangkitan kuman dalam darah dan sudah merebak ke otak hingga mengakibatkan keradangan.

Keadaan Muhammad Aqeef yang terlantar sakit.
Keadaan Muhammad Aqeef yang terlantar sakit.

"Kini dia terlantar sakit dan tidak mampu menguruskan diri sendiri termasuk hanya minum susu yang diberikan menerusi tiub," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bukit Rambai di sini, pada Sabtu.

Ujarnya, dengan pendapatan sekitar RM1,800 sebulan, dia mengalami kesempitan wang untuk membeli susu khas anaknya yang memerlukan sekurang-kurangnya 15 tin dengan kos mencecah lebih RM1,000 setiap bulan.

Katanya, disebabkan itu mereka sekeluarga terpaksa mengikat perut termasuk dua anaknya berusia sembilan dan 11 tahun juga berjimat cermat ke sekolah.

"Sejak anak sakit, dia tak boleh makan seperti biasa dan hanya bergantung susu, jadi terpaksa beli susu di farmasi dengan harga lebih kurang RM70 hingga RM80 setiap satu tin dengan berat 800gram.

Artikel Berkaitan:

Irmi Shahrizan (kiri) memimpin anaknya yang tidak mampu berdiri sendiri di rumah mereka di Taman Bukit Rambai, di sini, pada Sabtu.
Irmi Shahrizan (kiri) memimpin anaknya yang tidak mampu berdiri sendiri di rumah mereka di Taman Bukit Rambai, di sini, pada Sabtu.

"Sedih dengan keadaan anak dan sebelum ini pendapatan mencukupi namun sekarang saya perlu mengutamakan wang untuk membeli susu dan membayar sewa rumah RM400 sebulan.

"Saya reda dengan keadaan Aqeef dan berharap dia dapat pulih kembali seperti sebelum ini," katanya lagi.

Orang ramai yang ingin menghulur bantuan boleh menghubungi Suhaili di talian 011-53125048 atau melalui nombor akaun banknya 04995-41-10021143-1 (Bank Simpanan Nasional).