[VIDEO] Rangka disyaki Bella: Penduduk terkejut, dakwa tidak ada bau mayat

A
A
A

BATU PAHAT - Penduduk di lokasi penemuan rangka manusia termasuk tengkorak di rumah sewa terbengkalai di Lorong Imam Jailani, Kampung Batu 7, Tongkang Pecah, mendakwa tidak mencium sebarang bau mayat sebelum ini.

Fadilah Md Mery, 51, berkata, bau ikan yang kuat di gerai menjual ikan di hadapan rumah menyebabkan tiada sebarang bau mayat yang dihidu meskipun rumahnya terletak di belakang rumah sewa terbengkalai itu.

Menurutnya, jarak antara rumahnya dengan lokasi penemuan rangka hanya sekitar 20 meter.

"Ramai juga yang tanya, adakah saya dan keluarga tidak bau mayat atau bau pelik. Tetapi memang kami tidak langsung cium bau pelik kerana bau gerai ikan di depan rumah lagi kuat.

Lokasi penemuan rangka di dalam sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani Tongkang Pecah.
Lokasi penemuan rangka di dalam sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani Tongkang Pecah.

"Semalam lepas suami saya balik dari sembahyang Jumaat ada polis datang. Saya terkejut apabila diberitahu ada rangka manusia ditemui di rumah sewa terbengkalai di belakang rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Sabtu.

Fadilah yang juga pembantu tadbir berkata, rumah sewa terbengkalai di belakang rumahnya itu dahulunya kepunyaan keluarga namun telah dijual kepada pihak lain sejak empat tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Manakala katanya, pada waktu persekolahan, banyak kenderaan berhenti di tepi jalan serta membuat pusingan U di Lorong Imam Jailani.

"Kedudukan Lorong Imam Jailani di hadapan sebuah sekolah juga menyebabkan banyak kenderaan buat pusingan U di sini. Hanya terdapat dua buah rumah Lorong Iman Jailani iaitu rumah saya dan sepupu.

"Sememangnya saya tidak syak apa-apa sebab laluan di lorong rumah saya ini sering dilalui banyak kenderaan untuk membuat pusingan U," ujarnya.

Nurul Ain (kanan) tidak mengesyaki sebarang kejadian pelik sehingga diberitahu mengenai penemuan rangka manusia di sebuah rumah terbengkalai di Lorong Imam Jailani, Kampung Batu 7, Tongkang Pechah.
Nurul Ain (kanan) tidak mengesyaki sebarang kejadian pelik sehingga diberitahu mengenai penemuan rangka manusia di sebuah rumah terbengkalai di Lorong Imam Jailani, Kampung Batu 7, Tongkang Pechah.

Peniaga ikan, Nurul Ain Sakinah Mohd Jasmi, 26, berkata, kenderaan yang banyak keluar masuk ke Lorong Jailani menyebabkan dia tidak mengesyaki sebarang kejadian pelik berlaku di rumah sewa terbengkalai itu.

"Ramai yang datang membeli ikan di gerai saya terutama pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Kebanyakannya akan buat pusingan U di Lorong Imam Jailani.

"Saya sudah meniaga di sini sejak 2020. Sampai sekarang belum terjadi sebarang kejadian mencurigakan, ini kali pertama terjadi insiden seumpama ini dan gerai saya menjadi tumpuan," katanya.

Sementara itu, Md Hairunizal Alimon, 56, tidak menolak kemungkinan penemuan rangka manusia tidak sempurna termasuk tengkorak yang ditemui itu mungkin dibunuh di lokasi lain sebelum dibuang di kawasan terbabit.

Menurutnya, tiada sebarang kejadian pelik berlaku di rumah sewa terbengkalai itu sebelum ini selain tidak mendengar sebarang suara seperti tangisan mahupun jeritan seseorang.

Lokasi penemuan rangka manusia di rumah sewa terbengkalai di Lorong Imam Jailani Kampung Batu 7, Tongkang Pecah.
Lokasi penemuan rangka manusia di rumah sewa terbengkalai di Lorong Imam Jailani Kampung Batu 7, Tongkang Pecah.

"Selama sebulan ini juga, tiada kenderaan membawa barang-barang mencurigakan dilihat masuk ke bahagian belakang lorong ini.

"Kalau ada pun cuma lori yang membawa tanah atau batu untuk menambak tanah berhampiran kebun kelapa sawit.

"Tiada ada jalan masuk dari belakang lorong ini yang membolehkan mayat dibawa masuk.

"Yang ada di belakang lorong ini cuma kebun kelapa sawit dan semak-samun," katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Pesara swasta itu berkata, kewujudan rangka manusia di rumah terbengkalai itu hanya diketahui selepas kedatangan polis di lokasi tersebut pada petang Jumaat.

"Saya terkejut sebab tidak tahu apa-apa pun, memang tiada bau bangkai.

"Malah kereta keluar masuk pun biasa buat pusingan U.

"Belum pernah terjadi perkara sebegini sebelum ini walaupun rumah sewa sudah terbengkalai sudah empat tahun," katanya.