PADU: Penjawat awam tidak layak sebelum ini mungkin dapat manfaat - Rafizi

Rafizi (kanan) ketika sidang media susulan Pasca-Peluncuran Pengkalan Data Utama (PADU) di Jabatan Perangkaan Malaysia pada Jumaat. Foto Bernama
Rafizi (kanan) ketika sidang media susulan Pasca-Peluncuran Pengkalan Data Utama (PADU) di Jabatan Perangkaan Malaysia pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perubahan dari kayu ukur pendapatan kasar semata-mata kepada pendapatan boleh belanja dengan mengambil kira tanggungan dan kos sara hidup berdasarkan lokaliti membuka ruang kepada penjawat awam yang sebelum ini tidak layak untuk mendapat manfaat.

Sehubungan itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memberitahu, penjawat awam dinasihatkan untuk mempercepatkan pendaftaran di Pangkalan Data Utama (PADU).

"Bila kita beralir dari kayu ukur pendapatan semata-mata kepada pendapatan boleh belanja dengan mengambil tanggungan dan kos sara hidup mengikut lokasi, saya menjangkakan ada penjawat awam yang sebelum ini tidak layak tetapi sekarang layak.

"Jadi di peringkat Persekutuan, arahan telah dikeluarkan oleh Perdana Menteri yang disampaikan menerusi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam untuk memastikan semua penjawat awam mempercepatkan pendaftaran.

"Untuk peringkat negeri- negeri, saya akan melakukan kunjungan hormat secepat mungkin kepada menteri-menteri besar dan kepimpinan negeri supaya kerajaan negeri juga terlibat," katanya dalam sidang media di Putrajaya di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Rafizi memberitahu, pendaftaran itu setakat ini bagaimanapun masih belum diwajibkan kepada penjawat awam.

Dalam pada itu, Razifi menambah, setakat pukul 4 petang Jumaat, pendaftaran paling tinggi direkodkan melibatkan penduduk Putrajaya dengan 9.8 peratus, diikuti Sarawak (7.8 peratus), sementara Perlis, Negeri Sembilan, Labuan, Terengganu, Sabah, Selangor, Perak dan Melaka pula mencatatkan angka lebih enam peratus. - Awani

Artikel Berkaitan: