Hanya 4.3 peratus daftar PADU di Kedah

Nadia (dua dari kiri) bersama penyelaras kaunter PADU daerah Yan, Abdul Malik Abdul Aziz (kiri) ketika meninjau operasi PEDi Yan Kechil.
Nadia (dua dari kiri) bersama penyelaras kaunter PADU daerah Yan, Abdul Malik Abdul Aziz (kiri) ketika meninjau operasi PEDi Yan Kechil.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 65,878 penduduk Kedah telah mendaftar dan mengemas kini sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat Jumaat.

Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Kedah, Nadia Marzuki berkata, angka itu masih rendah iaitu bawah lima peratus daripada jumlah keseluruhan 1,539,993 individu yang layak berbuat demikian.

Menurutnya, pelbagai inisiatif dilakukan bagi menggalakkan orang ramai mendaftar seterusnya meningkatkan peratusan agar golongan sasaran tidak akan terpinggir memperoleh manfaat PADU.

“Setakat ini 4.3 peratus individu berumur 18 tahun dan ke atas mendaftar di Kedah, angka ini masih rendah menyebabkan kita turut gerakkan ‘flying squad’ ke kawasan pedalaman dan luar bandar terutama lokasi yang mana capaian internet bermasalah.

“Kita tak mahu disebabkan kelemahan itu, ada yang tercicir daripada sistem PADU. Ini antara cabaran kita berhadapan dengan literasi digital,” katanya di sini pada Sabtu.

Nadia berkata, ketiadaan kemudahan internet dan tidak mendapat maklumat jelas serta tepat berkaitan PADU menyebabkan ramai penduduk masih belum mengemas kini sistem berkenaan.

"Jangan berlengah lagi, kita harap semua rakyat bantu antara satu sama lain supaya hebahan PADU sampai ke semua peringkat golongan sasar. Kita bimbang ada golongan yang sepatutnya berada dalam sistem PADU, tetapi tiada (tidak daftar).

"PADU amat penting kerana memudahkan kerajaan untuk bantu mereka di kemudian hari. Kita memerlukan peranan masyarakat untuk saling hebahkan, mungkin jika ada yang sudah daftar, mereka boleh bantu ahli keluarga di kampung untuk daftar,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi memudahkan proses pendaftaran, terdapat 15 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di setiap daerah di negeri ini yang dijadikan sebagai kaunter fizikal PADU.

Antaranya, PEDi Kampung Bawah Gunung di Baling; PEDi Belimbing Kanan, Padang Terap; PEDi Bukit Raya Dalam, Pendang; PEDi Serdang, Bandar Baharu; PEDi Kampung Gunung Hilir, Kota Setar; PEDi PPR Paya Nahu, Kuala Muda; PEDi Changlun, Kubang Pasu; PEDi PPR Kelang Lama, Kulim; PEDi Kuah, Langkawi; PEDi Pekan Sik; PEDi Yan Kechil; serta PEDi Bukit Payong, Pokok Sena.

“Kemas kini PADU juga boleh dilakukan di Ibu Pejabat Jabatan Perangkaan Malaysia Kedah di Wisma Persekutuan, Alor Setar atau pejabat operasi jabatan itu di Langkawi dan Sungai Petani.

“Orang ramai yang ingin mengemas kini PADU diingatkan supaya membawa salinan kad pengenalan ketua isi rumah dan ahli isi rumah termasuk yang berusia bawah 18 tahun. Maklumat akaun bank juga diperlukan ketika mendaftar,” jelasnya.

Nadia memaklumkan, pendaftaran dan mengemas kini maklumat dalam sistem PADU boleh dilakukan sehingga 31 Mac ini.

“PADU adalah pangkalan data utama kerajaan ke arah mewujudkan satu ekosistem pemberian bantuan yang lebih sistematik menerusi perancangan polisi yang lebih holistik.

“Dengan mengemas kini PADU dapat mengelakkan orang ramai daripada keciciran untuk sebarang program bantuan atau subsidi bersasar serta pelbagai program yang dirancang kerajaan pada masa akan datang,” ujarnya.

Menurutnya lagi, orang ramai boleh mengemas kini maklumat peribadi secara dalam talian di https://www.padu.gov.my/

“Sebarang maklum balas dan aduan boleh dibuat melalui hotline 1-800-88-7720 bermula 8 pagi hingga 6 petang, sementara 1-800-88-7721 selepas 7.30 petang hingga 10 malam,” katanya.

PADU dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu, menyasarkan golongan berumur 18 tahun ke atas untuk mendaftar dan membuat semakan data, mengemas kini serta mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan.