Cuepacs mahu tindakan tegas diambil terhadap dalang fitnah KSN

Adnan Mat. Foto Bernama
Adnan Mat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu tindakan tegas diambil terhadap dalang yang memfitnah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali bahawa beliau disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Presiden Cuepacs, Datuk Dr Adnan Mat berkata, ini kerana fitnah yang tular di media sosial boleh memberi implikasi negatif terhadap institusi perkhidmatan awam dan menjejaskan kepercayaan kepada kerajaan.

Beliau berkata, Cuepacs menolak sebarang campur tangan pihak luar yang mempunyai kepentingan tertentu dengan melibatkan institusi perkhidmatan awam terutama KSN dalam agenda mereka.

"Cuepacs dengan sekeras-kerasnya menyelar tindakan tidak bertanggungjawab ini yang sememangnya sangat tidak berasas.

"Budaya menyebarkan fitnah ini perlu dihentikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab kerana ia boleh mencalarkan imej perkhidmatan awam yang sentiasa neutral dan profesional dalam setiap tindakan.

"Jangan cuba untuk menggugat kepercayaan rakyat kepada anggota perkhidmatan awam dengan menyebarkan sentimen yang tidak tepat terutama dakwaan bersifat fitnah tanpa pembuktian,” menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Adnan juga berkata, jika tiada tindakan tegas diambil, perkhidmatan awam akan terus digunakan sebagai bahan oleh individu tertentu untuk menyebarkan kebencian dan melaga-lagakan pemimpin kerajaan dengan anggota perkhidmatan awam.

Semalam SPRM menafikan dakwaan di media sosial bahawa siasatan telah dijalankan ke atas Mohd Zuki dan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata maklumat yang tular berkaitan perkara itu adalah palsu serta boleh merosakkan nama Ketua Setiausaha Negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: