Henti tuduhan tidak berasas, kenyataan fitnah terhadap KSN - Isham

SPRM sebelum ini menafikan dakwaan di media sosial bahawa siasatan telah dijalankan ke atas Mohd Zuki.
SPRM sebelum ini menafikan dakwaan di media sosial bahawa siasatan telah dijalankan ke atas Mohd Zuki.
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak diminta agar menghentikan sebarang tuduhan yang tidak berasas serta mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah berhubung dakwaan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presiden Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD), Datuk Seri Isham Ishak berkata, serangan seperti itu akan mendatangkan implikasi negatif kepada institusi KSN dan perkhidmatan awam sekali gus menjejaskan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

Katanya, bagi membendung perkara tersebut daripada terus berlaku, PPTD berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan.

"PPTD mengambil serius dakwaan fitnah terhadap KSN ini dan berpandangan adalah wajar sekiranya semua pihak tidak membuat sebarang tuduhan tidak berasas.

"Dalam hal ini, kami akan terus komited menyokong Kerajaan Madani yang telah diberikan kepercayaan dalam mentadbir negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini terdapat dakwaan Mohd Zuki disiasat SPRM melibatkan pelbagai isu ditularkan seorang pengguna media sosial di platform X menerusi hantaran yang antara lain menyebut perkara itu telah disahkan oleh sumber dalaman Pejabat KSN.

Bagaimanapun, SPRM menafikan dakwaan di media sosial bahawa siasatan telah dijalankan ke atas Mohd Zuki.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, maklumat yang tular di media sosial berkaitan perkara itu adalah palsu dan boleh merosakkan nama Ketua Setiausaha Negara.

Artikel Berkaitan:

Isham turut menyeru kepada semua ahli PPTD dan para pegawai pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) untuk terus fokus serta mengekalkan profesionalisme dalam menjalankan tanggungjawab mentadbir negara.

" Selain itu, nilai integriti dalam perkhidmatan perlu diterapkan," ujarnya.