Warga emas rugi lebih RM1.4 juta ditipu 'phone scam'

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

IPOH - Seorang wanita warga emas kerugian lebih RM1.4 juta apabila menjadi mangsa sindiket penipuan panggilan telefon atau ‘phone scam’ sejak tiga tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pesara berusia 62 tahun itu terpedaya dengan sindiket yang menyamar sebagai pekerja syarikat kurier dan pegawai polis selepas menerima panggilan pada 27 Mac 2020.

"Individu tidak dikenali telah menghubungi mangsa memaklumkan terdapat satu bungkusan bermasalah dan memberikan nombor telefon Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah yang palsu.

"Mangsa membuat pengesahan menerusi nombor itu dan pegawai polis menyatakan mangsa telah terlibat dalam kes jenayah pengubahan wang haram serta dadah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, mangsa percaya dengan maklumat itu apabila ditunjukkan waran tangkap mahkamah atas namanya.

"Sepanjang berurusan, mangsa berkomunikasi dengan lima pegawai polis berlainan hingga mendedahkan maklumat sulit berkaitan akaun bank dan dompet digital.

"Mangsa juga mengikuti arahan suspek dengan membuat pemindahan wang ke pelbagai akaun bank milik individu berlainan melibat jumlah keseluruhan RM1,417,019.84," katanya.

Mohd Yusri berkata, mangsa menyedari ditipu apabila dia menunggu lama untuk bertemu suspek bagi menyelesaikan kesnya itu.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan selepas mangsa membuat laporan pada Selasa.