Penaung NGO, ahli sindiket dadah Sabah dituduh dalam masa terdekat

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penaung sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bergelar Datuk yang diberkas di Sabah dipercayai mendalangi sindiket dadah bersama beberapa suspek lain akan dituduh dalam masa terdekat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, kertas siasatan sedang dilengkapkan.

Katanya, polis juga masih dalam proses mengesan aset lain milik sindiket terbabit.

"Kita sudah dapat keputusan dan akan tuduh mereka dalam masa terdekat.

"Proses mengesan aset lain milik suspek juga masih berjalan termasuk beberapa akaun sudah dibekukan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini pada Jumaat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis menahan ahli perniagaan itu menerusi siri serbuan JSJN Bukit Aman dan pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam serbuan di Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna pada jam 2.30 pagi, 25 Disember lalu.

Lelaki berusia 40 tahun itu yang juga ahli perniagaan dipercayai aktif melindungi kegiatan haramnya sejak 2015.

Malah, sindiket berkenaan juga dikesan melakukan pengubahan wang haram melalui pelbagai perniagaan mewah yang dijalankan ahli sindiketnya termasuk syarikat minyak dan gas serta rangkaian restoran.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ketua sindiket itu antara 10 individu ditahan.

Susulan itu, Ayob Khan menegaskan tindakan akan memfokuskan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) serta Seksyen 130V Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang) bagi memburu dalang sindiket dadah.