Rakyat sendiri jadi mangsa scam peniaga tempatan

Pemilik restoran disaran jujur dalam berniaga, nyatakan dengan jelas harga supaya pelanggan tidak terkejut apabila hendak membayar selepas makan. Foto123RF
Pemilik restoran disaran jujur dalam berniaga, nyatakan dengan jelas harga supaya pelanggan tidak terkejut apabila hendak membayar selepas makan. Foto123RF
A
A
A

MERAK Jalanan masih ingat sampai sekarang keluhan seorang sahabat yang tidak menyangka sepinggan nasi goreng ikan masin di sebuah restoran di utara tanah air adalah lebih mahal harganya berbanding restoran di Lembah Klang.

Sahabat Merak yang bernama Hameed itu mengesyaki harga tidak munasabah dikenakan terhadapnya kerana dia bertutur loghat Kuala Lumpur.

Dakwa Hameed, ada segelintir pemilik restoran di kawasan luar bandar yang mengenakan harga luar biasa terhadap orang luar kerana berasakan mereka berpoket tebal.

Sedangkan kata Hameed, orang bandar kebanyakannya nampak saja senang tetapi sebenarnya berhempas pulas untuk meneruskan hidup di bandar yang serba-serbinya memerlukan duit.

Bahkan katanya, orang kampung yang sebenarnya lebih senang dan ada juga daripada mereka yang tergolong dalam kategori 'financial freedom' apabila tidak mempunyai hutang keliling pinggang.

Berbalik kepada kisah nasi goreng ikan masin tadi, ia adalah antara kisah-kisah yang terjadi kepada pelanggan kita yang menjadi mangsa peniaga tempatan sendiri.

Sebab itu apabila melancong di dalam negara, kadang-kadang rasa seram untuk singgah di mana-mana restoran yang tidak pernah kita kunjungi.

Bimbang akan menjadi mangsa scam dikenakan harga tidak munasabah hingga terpaksa memberikan barang berharga milik kita seperti jam tangan, rantai dan sebagainya kerana tidak cukup wang.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, Merak nak nasihatkan kepada pemilik restoran supaya jujur dalam berniaga, nyatakan dengan jelas harga supaya pelanggan tidak terkejut beruk apabila hendak membayar selepas makan.

Hentikanlah niat nak untung cepat kerana sikap itu bukan sahaja merugikan peniaga itu sendiri tetapi akan memusnahkan sektor pelancongan negara.

Sekarang ini pun ramai rakyat tempatan ke Thailand kerana di sana dikatakan makan murah dan sedap.

Jika peniaga kita berterusan mengamalkan sikap tidak beretika, maka makin parahlah masalah pada masa depan.