'Dia memang 'hantu' nasi kandar, pelanggan tetap kami'

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Mohamed Imran
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Mohamed Imran
A
A
A

GEORGE TOWN - "Bukan gimik atau bertujuan 'marketing' tetapi memang selalu kami kongsikan di Facebook mengenai rekod harga makanan yang diambil pelanggan sama ada paling murah ataupun sebaliknya."

Itu reaksi pemilik Nasi Kandar Sulaiman, Mohamed Imran Mohamed Yasin selepas kisah pelanggannya yang membayar RM218 untuk sepinggan nasi kandar menjadi sensasi dan mendapat perhatian warganet sejak Sabtu.

Mohamed Yasin kini membantu anaknya, Mohamed Imran meneruskan perniagaan nasi kandar yang diwarisi sejak turun temurun.
Mohamed Yasin kini membantu anaknya, Mohamed Imran meneruskan perniagaan nasi kandar yang diwarisi sejak turun temurun.

Menurut Mohamed Imran, pelanggan setianya itu tidak kisah untuk membayar harga makanan berkenaan selepas memilih lauk 13 ekor udang dan 13 ekor sotong berserta lauk sampingan ketika menikmati hidangan berkenaan pada Sabtu.

Beliau berkata, sejak kecil lagi lelaki itu sering datang bersama keluarga menikmati nasi kandar di kedainya dan sebelum ini hanya menikmati makanan dengan harga sekitar RM60 sahaja.

"Boleh dikatakan setiap bulan dalam tiga atau empat kali dia akan datang makan di sini sama ada bersama keluarga, rakan-rakan atau dia datang bersendirian. Dia memang 'hantu' nasi kandar dan pelanggan tetap kami sejak bertahun lamanya.

Carta rekod harga makanan yang dipamerkan di kedai Nasi Kandar Sulaiman.
Carta rekod harga makanan yang dipamerkan di kedai Nasi Kandar Sulaiman.

"Tapi semalam dia datang dan cakap hendak pecahkan rekod. Dia juga kata sepatutnya orang Penang sendiri perlu pegang rekod itu (harga makanan termahal)," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki mencetuskan ‘sensasi’ di media sosial apabila dikatakan makan nasi kandar berharga RM218 di sebuah restoran mamak terkenal di Pulau Pinang.

‘Kejayaan’ lelaki itu dikongsikan pentadbir Facebook Nasi Kandar Sulaiman sehingga tular di media sosial.

Difahamkan, lelaki yang berpakaian jersi Arsenal itu mengambil lauk berupa 13 ekor udang, 13 ekor sotong dan lauk sampingan lain seperti dua ketul ayam goreng, telur sotong, telur masin serta bendi.

Rata-rata warga net turut memberi pelbagai reaksi mengenai rekod yang dicipta lelaki berkenaan yang disifatkan sebagai 'pemberani' sebenar dalam kalangan peminat nasi kandar.

Mengulas mengenai harga makanan yang dijual, Mohamed Imran berkata, pelanggan tidak perlu bimbang kerana semua harga lauk yang dijual ada dipamerkan di kedai dan mereka boleh memilih mengikut selera dan kemampuan masing-masing.

Katanya, harga makanan yang dijual di kedainya amat berpatutan dan mampu dinikmati oleh semua.

Mohamed Imran (kanan) tidak lupa menunaikan tanggungjawab membayar zakat perniagaan setiap tahun.
Mohamed Imran (kanan) tidak lupa menunaikan tanggungjawab membayar zakat perniagaan setiap tahun.

Sementara itu, berkongsi mengenai sejarah Nasi Kandar Sulaiman, Mohamed Imran berkata, perniagaan itu dimulakan moyangnya sejak sebelum merdeka lagi dan kini beliau menjadi generasi keempat keluarganya mewarisi perniagaan itu dengan mengekalkan resepi serta ramuan warisan dalam masakan.

Usahawan muda berusia 30 tahun itu berkata, beliau mula mengambil alih perniagaan itu sejak lima tahun lalu daripada bapanya, Mohamed Yasin Misawogani, 50, dan menjalankan perniagaan bermula selepas Subuh sehingga jam 2.30 petang di Jalan Dato Keramat di sini.

Meskipun dibuka pada awal pagi, Mohamed Imran berkata, beliau bersyukur kedainya menjadi tumpuan orang ramai yang sanggup beratur panjang bagi menikmati nasi kandar di kedainya dan ada yang bungkus sebelum ke tempat kerja.

Orang ramai kelihatan berbaris sebelum mendapatkan makanan yang dijual di Nasi Kandar Sulaiman.
Orang ramai kelihatan berbaris sebelum mendapatkan makanan yang dijual di Nasi Kandar Sulaiman.

"Alhamdulillah, jika dahulu pelanggan yang datang hanya penduduk tempatan sahaja, namun kini Nasi Kandar Sulaiman menjadi pilihan ramai peminat nasi kandar yang datang dari seluruh Malaysia malah terdapat juga pelanggan dari China, Singapura dan beberapa negara lain turut singgah menikmati makanan di sini.

"Menjadi fokus kami untuk pastikan kebersihan dan kualiti makanan yang dijual di sini terjamin selain akan terus menjadi salah satu 'port' nasi kandar yang menawarkan harga berpatutan dan boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat," katanya.